CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2533|Reply: 0

Sentiasa 'baja' hubungan keluarga

[Copy link]
Post time 31-3-2022 05:43 PM | Show all posts |Read mode
Sentiasa 'baja' hubungan keluarga


TIADA istilah masuk campur dalam mewujudkan keharmonian

"Mereka sudah berkahwin dan beranak-pinak. Pandailah jaga diri sendiri."

Kenyataan itu antara yang kita dengar daripada ibu bapa apabila anak-anak mengalami krisis dalam hubungan selepas berkahwin.

Apatah lagi, mungkin khuatir akan digelar menyibuk hal rumah tangga anak-anak kerana sebaik sahaja akad nikah dilafazkan, maka 'hilang' tanggungjawab ibu bapa kepada anak itu sendiri.

Namun, adakah patut perkara itu berlaku?

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, dalam kehidupan seharian, keluarga seharusnya diletakkan pada tempat pertama dan paling utama.

Jelasnya, perkara ini kerana 'sistem sokongan keluarga' yang positif akan menyumbang kepada kesihatan fizikal dan mental seseorang dan begitu juga sebaliknya.

"Hubungan antara ahli keluarga yang toksik, misalnya ibu bapa yang tidak mengendahkan kebajikan dan kesejahteraan anak-anak menjadi salah satu penyebab gangguan mental, masalah sosial hingga mencetuskan perilaku jenayah kelak.

"Malah, selepas anak-anak mendirikan rumah tangga sekali pun, ibu bapa perlu peka dan prihatin serta terus menggalas amanah sebagai pembantu, pelindung dan contoh ikutan kepada anak, menantu serta cucu kelak," katanya.

Katanya, tidak wujud istilah 'jangan masuk campur' atau 'mereka sudah dewasa' apabila berbicara perihal anak dan darah daging sendiri. Hubungan yang ada kekal sampai ke mati dan ke alam selepas itu.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa perkahwinan dan perhubungan keluarga adalah teras komuniti. Keluarga diiktiraf secara universal sebagai sumber sokongan dan keselamatan yang terpenting dalam hidup manusia.

"Keluarga kitalah mula-mula sekali menyediakan persekitaran selamat dan stabil, yang memupuk pertumbuhan serta perkembangan diri dalam semua peringkat kehidupan berbeza yakni dari lahir hingga ke usia tua," katanya.


KRISIS dalam hubungan selepas perkahwinan adalah perkara biasa berlaku.

Katanya, selepas mendirikan rumah tangga sekali pun, hubungan antara ahli keluarga khasnya emak dan ayah tetap perlu dijaga dan dibaja supaya sistem sokongan positif dapat dibina demi memastikan keamanan, kesejahteraan seterusnya kebahagiaan hakiki sebuah perkahwinan.

"Dalam penyelidikan Dr Patricia Thomas, Dr Hui Lui dan Dr Debra Umberson pada tahun 2017, mereka menyatakan bahawa perhubungan antara pasangan suami isteri dengan ibu bapa dan adik-beradik menjadi sistem sokongan paling ampuh yang menyumbang kepada kebahagiaan serta kelangsungan perkahwinan berkenaan.

"Dengan keadaan semasa yang tidak menentu, masalah ekonomi rumah tangga yang disebabkan pandemik Covid-19 dan banyak penyebab tekanan, sistem sokongan keluarga dapat memberi kekuatan kepada semua orang, khasnya pasangan suami isteri," katanya.

Tambahnya, hari ini kelestarian sebuah perkahwinan semakin mencabar kerana terdapat suami yang sudah hilang pekerjaan sejak tahun 2020 lagi.

"Terdapat juga isteri yang terpaksa mencari rezeki menggantikan suami, ada anak-anak yang tidak dapat merasai kasih-sayang daripada ibu bapa sendiri.

"Mahu tidak mahu, sistem sokongan keluarga perlu 'diaktifkan' untuk memantau keadaan keluarga berkenaan dan memberi bantuan mengikut kemampuan. Dalam erti kata lain, orang tua pasangan itu perlu ambil tahu dan masuk campur dalam urusan keluarga berkenaan," katanya.

Katanya, masuk campur di sini tidak harus dilihat dari perspektif negatif. 'Masuk campur' dalam konteks ini adalah untuk membantu dari segala sudut bermula dengan memantau keadaan, memberi nasihat sehingga ke tahap berkongsi masa, menghulur pertolongan dan mungkin juga menyumbangkan wang ringgit mengikut kemampuan.

"Pasangan suami isteri berkenaan juga perlu mengambil langkah positif dengan kerap memberi khabar kepada orang tua mereka.

"Niat dan tujuan di sini bukan pula untuk membuka pekung di dada atau untuk memburukkan pasangan, tetapi sebagai suatu wadah dalam memperkukuhkan sistem sokongan keluarga," katanya.


SOKONGAN psikologi anak dan ibu bapa bukan beerti menyuntik hubungan rumah tangga.


Katanya, Ibu bapa yang lebih berusia pasti ada banyak pengalaman berkenaan kehidupan. Mereka boleh memberi nasihat yang bersifat neutral. Di samping menjadi tempat mengadu anak sendiri dan anak menantu.

"Kadang kala mereka tidak perlu pun mengambil apa-apa tindakan, sekadar mendengar keluh-kesah dan cuba menenangkan anak sendiri dan menantu.

"Dari titik ini, kelangsungan sesebuah perkahwinan dapat diusahakan hingga ke akhir nyawa pasangan berkenaan. Apabila anak pasangan itu pula meningkat dewasa dan berkahwin, dia pula akan menggalas tanggungjawab yang sama dan begitulah seterusnya sampai ke akhir dunia," tambahnya.

Katanya, dunia hari ini tidak sama seperti dunia sebelum ini. Untuk mengekalkan kelangsungan sesebuah perkahwinan, banyak cara dan usaha yang dapat dilakukan sebelum kata-kata penceraian terpaksa dilafazkan sebagai noktah dan tindakan paling akhir.

"Sistem sokongan keluarga antara cara dan usaha terbaik untuk membantu setiap pasangan suami-isteri melayari bahtera perkahwinan yang pasti penuh dengan dugaan dan pancaroba.

"Dengan berfikiran terbuka, berlapang dada, menerima nasihat dan bantuan orang tua sendiri juga ibu dan bapa mertua, diyakini segala dilema, konflik dan masalah pada hari ini dapat ditangani serta diselesaikan dengan sebaik mungkin untuk manfaat semua pihak yang berkepentingan dalam sesebuah perkahwinan," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/202 ... a-hubungan-keluarga

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 01:05 AM GMT+8 , Processed in 0.045712 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list