WASHINGTON: Pelakon Hollywood Will Smith (gambar) dilarang menghadiri 10 Majlis Oscar akan datang selepas insiden beliau menampar pelawak Chris Rock di atas pentas semasa acara Anugerah Akademi ke-94, umum Akademi Motion Pictures Arts and Sciences pada Jumaat.
Keputusan untuk menggantung Smith dibuat selepas Lembaga Gabenor Akademi bersidang untuk membincangkan responsnya, lapor Agensi Anadolu.
Selain dilarang daripada menerima Anugerah Oscar selama sedekad, Smith juga dilarang daripada menghadiri sebarang acara Akademi dalam tempoh itu. Presiden Akademi David Rubin dan Ketua Pegawai Eksekutif Dawn Hudson memetik "tingkah laku tidak wajar dan berbahaya" Smith semasa acara pada 27 Mac dalam satu surat terbuka kepada ahli Akademi.
Rubin dan Hudson mengakui pihak Akademi "tidak menangani situasi itu secara dalaman dengan baik" semasa anugerah itu berlangsung apabila Smith kemudiannya menerima Anugerah Akademi untuk pelakon terbaik. Pemimpin Akademi memohon maaf kerana tidak segera bertindak, menyatakan mereka "khilaf" dan "tidak bersedia untuk perkara yang belum pernah terjadi sebelumnya."
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Rock kerana kekal tenang ketika kejadian itu," tulis mereka. "Tindakan kami hari ini adalah sebagai tindak balas kepada tingkah laku Will Smith yang merupakan satu langkah ke arah matlamat untuk melindungi keselamatan penghibur dan tetamu kami, serta memulihkan kepercayaan terhadap Akademi."
Smith mengumumkan menarik diri dari Akademi minggu lalu di tengah-tengah kritikan pedas berikutan serangannya terhadap Rock. - BERNAMA
utusanborneo.com.my/2022/04/09
|