LIMBANG: Sebuah premis makanan di sini diarah tutup serta-merta kerana kotor dan tidak mempunyai urungan haiwan perosak dalam operasi yang dijalankan Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang (PKBK) pada 6 April lepas.
Lebih menjijikan, hasil pemeriksaan di dapur premis itu, anggota penguatkuasa PKBL menemui najis kucing dan tikus, anak lipas dan telur lipas selain beberapa kesalahan lain melibatkan aspek kebersihan lain.
Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang dalam kenyataan media baru-baru ini menjelaskan operasi dijalankan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dalan operasi yang dijalankan tujuh anggota PKBL diketuai tiga pegawai iaitu Pegawai Kesihatan Persekitaran, Elizabeth Sinirisan Chong, Pegawai Teknologi Makanan, Alexis Ong dan Ahli Kaji Serangga, Muhammad Najib Ruslan bermula jam 10.30 pagi.
Kata kenyataan itu operasi dijalankan ekoran daripada pemeriksaan susulan premis makanan akibat aduan yang diterima daripada Pejabat Agama Islam Bahagian Limbang.
“Hasil daripada pemeriksaan susulan, najis tikus, kencing tikus, anak lipas dan telur lipas ditemui di dapur premis makanan. Kelemahan lain yang dikenal pasti seperti jubin lantai yang rekah dan pecah, kebersihan dapur yang tidak memuaskan menyebabkan premis makanan tersebut memperoleh markah kurang daripada 60 peratus ,” kata kenyataan itu lagi.
Anggota penguatkuasa PKBL menjalankan pemeriksaan ke atas senua premis makanan baru-baru ini.
PKBL mengambil keputusan untuk menutup premis kerana premis tak suci dan satu notis dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 iaitu kompaun di bawah Peraturan 34 yang berkaitan dengan kegagalan mematuhi kehendak yang berhubungan dengan kewajipan untuk mengekalkan premis makanan bersih.
“Di samping itu, semua sijil kursus pengendali makanan staf ditarik balik oleh PKBL dan mereka perlu hadir semula kursus tersebut dalam masa yang terdekat. Premis tersebut diarahkan untuk tutup selama 14 hari bermula 6 hingga 20 April 2022. Arahan pembersihan dan tindakan pembetulan serta pendidikan kesihatan telah diberikan kepada wakil premis,” katanya.
Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang, Dr Norliza Jusoh, semua pemilik premis, wakil pemilik, pekerja, pembantu dan pengendali makanan wajib menjaga kebersihan diri dan premis makanan untuk menjamin keselamatan makanan dan mengelakkan urungan haiwan perosak seperti tikus dan lipas.
“Jika pemilik premis ingkar arahan penutupan premis tak suci,pemilik premis itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya lagi.
Tegas Dr Norliza lagi kebersihan diri, kebersihan premis makanan dan keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama semua pihak lapisan masyarakat.
Pada masa yang sama, beliau berkata lagi bahawa premis boleh memohon kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang untuk pembukaan semula.
“ Jika pemeriksaan susulan yang dibuat adalah memuaskan, maka premis makanan yang telah ditutup akan dibenarkan untuk beroperasi semula,” jelasnya.
utusanborneo.com.my/2022/04/12 |