Sabah rekod 150 kes baharu COVID-19
KOTA KINABALU: Jumlah jangkitan baharu COVID-19 di Sabah kembali meningkat kepada tiga angka dengan 150 kes direkodkan hari ini iaitu pertambahan 85 kes berbanding semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah daerah yang mencatatkan peningkatan kes baharu bertambah kepada 17 daerah berbanding lapan daerah yang mencatat kes baharu lebih rendah.
Katanya, daerah yang mencatat kes dua angka juga bertambah daripada satu daerah semalam kepada empat daerah hari ini.
Menurutnya, hanya empat daerah tidak mencatat sebarang kes baharu berbanding 10 daerah semalam.
"Beberapa daerah merekodkan pertambahan kes baharu yang agak tinggi, antaranya Beaufort, Sandakan, Kota Kinabalu, dan Penampang.
"Kadar penurunan kes bagi daerah yang mencatatkan penurunan pula adalah kecil," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 145 daripada 150 kes baharu hari ini adalah dalam kategori satu dan dua, terdapat satu kes dalam kategori tiga, dan dua kes masing-masing dalam kategori empat dan lima.
utusanborneo.com.my/2022/04/12
|