Ketua Pengarah AADK Malaysia Sutekno Ahmad Belon berkata, program itu ujian urin akan dilakukan ke atas pengusaha insitut memandu termasuk pengajar selain memperkenalkan silibus pembelajaran yang memberi penekanan kepada kesedaran bahaya penyalahgunaan dadah dan substance ketika memandu.
Beliau memberitahu, ia merupakan program rintis di Malaysia dan Sarawak telah dipilihkan bagi melaksanakannya dengan peruntukan dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri.
"AADK dan JPJ Negeri Sarawak akan mengadakan satu program bersama, pertama untuk memberi kesedaran kepada pengusaha-pengusaha institut memandu dan pelajar berhubung pemanduan berhemah dan bebas daripada pengaruh dadah.
"Kedua, kita akan mengadakan ujian urin ke atas pengusaha dan pengajar bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan dadah. Ini penting kerana guru (memandu) harus menunjukkan teladan baik kepada pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) dipengerusikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Sutekno berkata program itu akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini dan mengikut zon.
"Ini telah dibincang dan dipersetujui pada mesyuarat hari ini selain program membanteras penyalahgunaan dadah dan substan di tempat kerja melibatkan pejabat-pejabat kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan-badan berkanun.
"Program ini juga akan dilaksanakan tahun ini. Antara lain bertujuan memberi pengetahuan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan substan kepada majikan dan pekerja untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja sihat, selamat seterusnya meningkatkan produktiviti pekerja," jelasnya.
Pada sidang media sama Sutekno berkata pada tahun lalu (2021) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak merekodkan 6,707 tangkapan dan 223 kilogram dadah berjaya dirampas bernilai RM19.8 juta manakala nilain pelucuthakan RM3.8 juta.
"Kita bersama kerajaan negeri akan melaksanakan tiga perkara iaitu pencegahan, rawat dan pulih masalah dadah dan kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan untuk memastikan Sarawak pada amnya bebas masalah dadah," tambahnya.
Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahtaraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bagi menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dan substance, peruntukan RM5.38 juta telah diluluskan.
Menurutnya peruntukan itu antara lain bagi perolehan teknologi kecerdasan buatan (AI), anjing pengesan dadah, memperkasakan fungsi Majistert Sarawak dan penubuhan Jawatankuasa Kerja Teknikal Risikan Narkotik.
"RM2 juta lagi untuk melaksanakan program melalui tadbir urus OSC MIDS Negeri Sarawak dan RM500,000 bagi aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah di Sarawak melalui PEMADAM)," jelas Fatimah.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Pengerusi PEMADAM Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
utusanborneo.com.my/2022/04/12