|
Dr Kasemani (kiri) ketika membuat pemantauan keselamatan makanan di Bazar Pantai Batu Buruk, petang semalam. - BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 93 kes keracunan makanan direkodkan di negeri ini sejak hari pertama puasa pada 3 April lalu, berpunca daripada juadah berbuka yang dibeli di bazar Ramadan serta peniaga tepi jalan.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata hanya dua mangsa daripada keseluruhan kes dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Sampel makanan dikaitkan dengan kes dihantar untuk analisis oleh Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Bukit Tunggal," katanya kepada media selepas melakukan pemantauan Keselamatan dan Kualiti Makanan di Bazar Ramadan Batu Burok, di sini petang semalam.
Difahamkan, dua mangsa keracunan makanan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) adalah Muhammad Aqil Rifqi Mohd Rusnizam, 9, dan adiknya, Nur Azzahra Raisha, 7, dari Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus.
Dua beradik itu dikatakan mengalami cirit birit dan muntah dipercayai makan puding buih dibeli ibu, Tuan Naemah Tuan Husain, 37, di gerai kuih berhampiran padang bola Kampung Bukit Tumbuh, Rabu lalu.
Sementara itu, Dr Kasemani berkata, JKNT mengeluarkan 222 notis mengikut Peraturan Kebersihan Makanan 2009 atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan ke atas di 4,938 petak niaga dibuka di bazar Ramadan seluruh negeri dalam tempoh sama.
Katanya, kesalahan paling banyak dilakukan peniaga dan pengendali makanan adalah tidak menghadiri kursus asas pengendali makanan dan gagal mematuhi etika berpakaian dengan kemas dan lengkap.
"Etika berpakaian kemas dan lengakap termasuk pemakaian apron, penutup kepala serta berkasut. Sebanyak 114 notis dikeluarkan kerana gagal menghadiri kursus pengendali makanan dan tidak mematuhi etika berpakaian dengan nilai kompaun RM14,400.
"Kesalahan lain, menggajikan pekerja yang tidak mendapatkan suntikan pelalian anti-tifoid dengan 14 kes dan nilai kompaun RM2,800, gagal menyediakan rekod latihan dan suntikan pelalian pekerja dengan 29 kes dan nilai kompaun RM2,900,' katanya.
Selain itu, 12 kes tiada pelalian anti-tifoid dengan nilai kompaun RM2,400 dan 23 kes tidak menjaga kebersihan diri, terutama kuku panjang dan memakai cincin dan gelang emas ketika mengendalikan makanan dengan nilai kompaun RM2,300.
Katanya, bagi memastikan makanan dijual mematuhi standard ditetapkan di bawah Peraturan Makanan 1985, sebanyak 79 sampel makanan diambil untuk analisis.
"Peniaga dan pengendali makanan yang melakukan kesalahan menjual makanan yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai boleh dikenakan denda sehingga RM100,000," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... nan-sejak-1-ramadan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|