View: 326|Reply: 0
|
[Kelantan]
Tak terhitung rasa kesal
[Copy link]
|
|
PENGARAH Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff (kanan) memantau pergerakan banduan yang berkerja di bengkel pastri. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: "Jika difikirkan rasa kesal, tidak terhitung rasanya kerana tindakan yang kononnya demi menyelamatkan suami menyebabkan kasih sayang saya dengan dua anak terputus," kata seorang banduan, Liza (bukan nama sebenar).
Liza, 24, yang ditahan atas kesalahan samun dan mencederakan seorang wanita warga emas empat tahun lalu menerima hukuman sembilan tahun penjara dan ketika kejadian, dia sedang hamil tiga bulan.
Dia yang ditemui di penjara Pengkalan Chepa di sini mendakwa, dia menyamun kerana mahu mencari duit membayar wang jaminan suami yang ditahan atas kesalahan dadah namun tidak menyangka ia memakan diri.
"Saya terdesak mencari duit ketika itu untuk menolong suami menyebabkan bertindak kurang waras dengan menyamun seorang makcik dan memukulnya dengan 'dumb bell' sehingga pengsan.
"Selepas tiga hari diburu, saya akhirnya ditahan polis dan ketika itu sedang mengandung anak kedua sebelum dijatuhkan hukuman selama sembilan tahun bermula 2019.
"Saya melahirkan anak kedua dalam penjara dan perasaan menyesal sering kali menghantui kerana niat untuk keluarkan suami tapi saya sendiri yang 'ke dalam'," katanya.
Liza berkata, sudah dua tahun dia tidak bersua dengan sepasang anaknya yang berusia tiga dan empat tahun memandangkan pandemik Covid-19 sebelum ini yang tidak membenarkan sebarang lawatan.
Katanya, walau sudah memasuki tahun keempat menjalani ibadah puasa dan bakal merayakan Syawal di sebalik tirai besi, perasaan rindu yang teramat terhadap keluarga tidak mampu dibuang lebih-lebih lagi tidak berpeluang melihat kedua cahaya mata membesar di depan mata.
"Setiap detik dirasakan tidak sabar untuk kembali ke pangkuan keluarga dan saya dijangka dibebaskan pada 2025 malah perancangan sudah ada dalam fikiran yang mana saya akan usahakan perniagaan membuat pastri yang dipelajari dalam penjara untuk menyara kehidupan nanti," katanya.
Perasaan yang sama dikongsi seorang lagi banduan wanita yang ditemui di bengkel pastri Penjara Pengkalan Chepa, yang ingin dikenali sebagai Asma, 34 dan sudah dua tahun menjalani hukuman di bawah Seksyen 6(1) Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.
Wanita yang berasal dari Terengganu itu ditahan kerana memiliki sebilah kerambit yang diperoleh daripada seorang rakan bagi tujuan melindungi diri.
Asma berkata, kedatangan Ramadan membuatkannya tidak tentu arah kerana terkenangkan detik indah berbuka puasa bersama keluarga seterusnya merayakan Aidilfitri.
"Sepanjang Ramadan ini saya belum lagi menghubungi keluarga kerana bimbang tidak dapat mengawal perasaan sedih dan dibanjiri air mata kerana perasaan rindu yang menebal.
"Bagaimanapun ada hikmahnya berada di sini (penjara) kerana saya memperoleh kemahiran menghasilkan biskut, kek, pastri, makanan sejuk beku yang akan saya jadikan sumber pendapatan sebaik dibebaskan tahun depan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... erhitung-rasa-kesal |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|