
Alina Abdul Shukor, 35, menunjukkan fotonya bersama bapa yang juga bekas wartawan New Straits Times, Abdul Shukor Abdul Rahman (kiri), meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Jalan Kebun Nyiur di sini, pada usia 75 tahun. Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Bekas wartawan New Straits Times meninggal dunia
GEORGETOWN: Bekas wartawan New Straits Times (NST), Abdul Shukor Abdul Rahman, meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Jalan Kebun Nyiur, di sini, hari ini.
Allahyarham yang pernah menjadi Ketua Biro NST di Pulau Pinang meninggal dunia pada usia 75 tahun di sisi isterinya, Rohaida Yahya, 64, pada jam 3.15 petang.
Rohaida berkata, Allahyarham berkhidmat sebagai wartawan NST sekitar tahun 70-an sebelum bersara pada 2013.
Katanya, Allahyarham tidak mengalami sakit dan hanya mengadu sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia, tidak lama kemudian.
"Saya sangka arwah mengalami kelelahan biasa berikutan faktor usia sebelum saya hubungi pihak ambulans.
"Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Jelutong, malam ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.