GEORGETOWN: Walaupun kehilangan kaki kiri kerana kanser tulang, Muhammad Afiq Muhammad Shukri, 21, gigih melakukan pelbagai pekerjaan demi meneruskan kelangsungan hidup dan berbakti kepada keluarga.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia pernah menjadi pekerja pembersihan, penghantar kurier, ejen kenderaan tunda, petugas pemindahan barang, pekerja restoran dan terkini berkhidmat sebagai kru di sebuah kafe menjual aiskrim.
"Bekerja sambil menggunakan kaki palsu bukan mudah dan kena tahan sakit. Paling lama boleh pakai lapan jam sahaja. Sebelum ini saya bekerja di sebuah restoran hampir setahun, suatu hari ketika sedang bancuh air, saya hilang keseimbangan dan terjatuh, sakitnya tuhan saja yang tahu.
"Ketika itu pelanggan ramai dan suasana agak kalut. Jadi keluarga bimbang dan minta saya berhenti kerja di sana. Doktor juga sudah pesan saya tidak boleh alami kecederaan serius kerana risiko kanser bila-bila sahaja boleh datang semula," katanya ketika ditemui.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian yang juga Sekolah Sukan Pulau Pinang itu didiagnos menghidap kanser tulang tahap dua ketika sedang menjalani latihan larian jarak jauh pada usia 13 tahun.
Kisah getir Afiq yang menjalani lebih 30 pembedahan akibat kanser berkenaan sebelum kaki kirinya terpaksa dipotong ketika berusia 17 tahun pernah tular di media sosial dan meruntun hati orang ramai suatu ketika dahulu.
"Hospital sudah jadi seperti rumah kedua, paling lama lapan bulan (dirawat). Pada awalnya, tempurung lutut saya dibuang dan diganti besi, tapi ada jangkitan kuman dan masalah lain sebelum keputusan paling berat terpaksa diambil iaitu mengorbankan kaki.
"Apabila dapat kaki palsu ketika berusia 19 tahun, saya kembali boleh berjalan, cuma tidak seimbang. Berdiri atau duduk terlalu lama boleh menyebabkan kesakitan, kerja memang payah dapat. Orang kurang upaya (OKU) seperti saya susah orang hendak bagi peluang," katanya.
Bapa Afiq pekerja swasta, manakala ibunya berniaga apam balik dan dia kini tinggal bersama nenek, Mahiran Mat Amin, 65, di Sungai Dua di sini, kerana rumah flat neneknya terletak di aras bawah dan memudahkannya berulang-alik ke tempat kerja.
Menurutnya, ujian bergelar OKU tidak mudah kerana selain menghadapi masalah pergerakan, ada segelintir individu memandang sinis kekurangan dirinya sehingga dia pernah disalah anggap sebagai mat rempit yang hilang kaki akibat kemalangan jalan raya.
Afiq turut mengakui pencapaian akademiknya tidak begitu memberangsangkan kerana banyak ketinggalan dalam pelajaran sepanjang menjalani rawatan, namun dia tetap menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Lantaran itu, Afiq melihat kerjaya sebagai ahli sukan dapat menyerlahkan potensi serta kebolehan sebenar dirinya dan dia pernah menjalani sesi saringan pemilihan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur dalam sukan lawan pedang berkerusi roda pada Disember 2019.
"Ketika itu saya sudah lulus dan nama tersenarai untuk menjalani latihan, tapi tak lama selepas itu ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sehingga kini kedudukan saya dalam pasukan masih tergantung dan tidak tahu sama ada akan dipanggil semula atau tidak.
"Sebenarnya apa sahaja sukan berkaitan paralimpik saya minat untuk asah bakat, tak kira boling padang, memanah atau lontar lembing, cuma peluang belum tiba. Apabila tengok senior sekolah lama berjaya jadi ahli sukan untuk negara, memang rasa terinspirasi dan teringin sangat nak jadi seperti mereka," katanya.