CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 402|Reply: 0

[Pulau Pinang] Industri teknologi tinggi di Kepala Batas

[Copy link]
Post time 13-6-2022 04:36 PM | Show all posts |Read mode
GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang menjelaskan projek yang akan dibangunkan di Taman Teknologi Pulau Pinang seluas 339 hektar di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir di Kepala Batas, dekat sini membabitkan industri berteraskan teknologi tinggi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, meskipun projek itu dibangunkan pemaju swasta, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Penang Invest akan memberi kerjasama dan khidmat nasihat kepada pihak berkenaan terutamanya dalam usaha menarik pelabur asing di kawasan berkenaan.

"Inisiatif itu membabitkan sektor industri seperti yang terdapat di kawasan perindustrian Batu Kawan dengan kebanyakan syarikat yang melabur adalah syarikat berteknologi tinggi seperti bidang semikonduktor, aeroangkasa, barang perubatan dan lain-lain.

"Kerajaan negeri turut difahamkan bahawa pemaju telah mendapat komitmen daripada Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berhubung tawaran insentif kepada syarikat dan pelabur asing yang bakal melabur di situ," katanya pada sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam yang meminta kerajaan negeri Pulau Pinang menyenaraikan jenis industri atau projek yang akan dibangunkan di Bertam, Kepala Batas bagi memastikan rakyat khususnya penduduk setempat mendapat gambaran lebih jelas mengenai projek yang bakal dijalankan.

Semalam, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, perkara itu perlu selepas timbulnya cadangan pembinaan kuarters pekerja berpusat atau Centralized Labour Quarters (CLQ) yang menggusarkan penduduk.

Sebelum ini, penduduk di 10 taman perumahan berhampiran projek itu mengadakan bantahan aman bagi menolak cadangan pembangunan CLQ di kawasan berkenaan dan mencadangkan pembinaan itu dipindahkan ke kawasan Ara Kuda, Tasek Gelugor.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pembangunan asrama pekerja itu tidak akan berlaku pada fasa pertama dan hanya akan bermula pada fasa dua di kawasan tanah yang telah dirizabkan sebagai zon industri sejak 2004 namun hanya mula dibangunkan pada tahun ini oleh pemaju swasta.

Menurutnya, pembangunan taman industri baharu itu dilihat dapat mengimbangi kemajuan industri di kawasan Seberang Perai dan pulau serta menjadikan kawasan Seberang Perai Utara (SPU) sebagai satu kawasan industri berteraskan teknologi tinggi.

"Fasa pertama pembangunan seperti penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, sistem perparitan, bekalan air dan elektrik untuk kegunaan pelabur dijangka siap pada hujung tahun ini manakala fasa kedua membabitkan pembangunan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mula dilaksanakan selepas fasa pertama siap," katanya.

Beliau berkata, pembangunan CLQ di kawasan taman industri baharu itu adalah antara keperluan yang perlu disediakan kepada pekerja sama ada pekerja asing atau untuk pekerja tempatan di kawasan industri.

"Ia adalah dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia yang perlu dipatuhi di mana majikan perlu menyediakan tempat tinggal untuk pekerja mereka.

"Ia turut bertujuan mengelakkan berlaku masalah sosial jika pekerja asing ditempatkan di kawasan perumahan penduduk mesti masyarakat setempat tidak gemar melihat sebuah rumah dihuni oleh berpuluh warga asing, jadi pembinaan CLQ dilihat dapat mengatasi masalah ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ggi-di-kepala-batas

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-2-2025 09:51 AM GMT+8 , Processed in 0.041899 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list