PETALING JAYA: Mahkamah tertinggi negara perlu menangani prinsip undang-undang paling asas dalam kes terpentingnya apabila mendengar rayuan terakhir Najib Razak berhubung sabitan atas kesalahan salah guna kuasa dan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Pada 7 Jun, peguam cara bekas perdana menteri itu menandatangani notis usul meminta Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan Mahkamah Tinggi, yang menyaksikan Najib disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman, terbatal dan tidak sah serta meminta kes itu dibicarakan semula.
Pasukan undang-undang Najib berhujah bahawa beliau menjadi mangsa kegagalan keadilan asasi, dengan mempercayai bahawa hakim perbicaraan Mohd Nazlan Ghazali sepatutnya menarik diri disebabkan konflik kepentingan.
Dalam afidavit yang disahkan menyokong permohonan itu, Najib mendakwa Nazlan, yang menjadi peguam Maybank dan setiausaha syarikat antara Julai 2006 dan April 2015, paling tidak sepatutnya mempunyai “pengetahuan konstruktif” tentang apa yang dihujahkan oleh pihak pembelaan sebagai sumber sebenar dana SRC, yang dikatakan menjadi tonggak isu kes itu.
Undang-undang mengaitkan “pengetahuan konstruktif” kepada seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan sebenar tentang sesuatu perkara jika ia boleh diketahui olehnya melalui penggunaan langkah wajar.
Menurut Najib, dokumen di tengah-tengah permohonan itu hanya diketengahkan pada Mei tahun ini, dan oleh itu, beliau tidak berada dalam kedudukan untuk membangkitkan isu ini sama ada di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Mahkamah tertinggi akhirnya perlu mempertimbangkan sama ada Nazlan mempunyai pengetahuan tentang perkara yang didakwa oleh Najib dan sama ada pengetahuan itu menjadikannya saksi berpotensi dalam kes itu.
Mahkamah Persekutuan juga perlu mempertimbangkan sama ada, sebagai akibat, wujud bahaya berat sebelah apabila Nazlan mempengerusikan perbicaraan itu.
Najib tidak membantah pelantikan Nazlan pada permulaan kes.
Dalam surat yang ditulis kepada Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim pada 7 Ogos 2018, peguam caranya, Shafee & Co, menyatakan keyakinan mereka terhadap kesaksamaan dan keupayaan Nazlan untuk mempengerusikan perbicaraan itu.
Surat itu ditulis untuk menyatakan kebimbangan mengenai persepsi berkaitan perpindahan mengejut yang menyaksikan Nazlan menggantikan hakim Sofian Razak di mahkamah jenayah di mana Najib dihadapkan dan didakwa.
Dalam jawapan bertulis bertarikh 8 Ogos 2018, Zaharah memberi jaminan kepada pasukan pembelaan Najib bahawa perpindahan itu hanyalah sebahagian daripada rombakan rutin hakim yang berlaku dari semasa ke semasa.