|
Ketika Sri Lanka berdepan isu bekalan makanan, bahan api dan ubat-ubatan, bekas pemain kriket, Roshan Mahanama berkongsi imej dia menghidangkan teh dan roti kepada mereka yang menunggu dalam barisan di stesen minyak di Colombo.
Negara itu mengalami krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan dan tidak dapat mencari dana untuk mengimport barang keperluan, lapor New Delhi TV.
"Kami menghidangkan teh dan roti bersama pasukan dari Community Meal Share petang ini untuk orang ramai yang berbaris menunggu petrol di sekitar Ward Place dan Wijerama Mawatha.
"Barisan semakin panjang dari hari ke hari dan akan ada banyak risiko kesihatan kepada orang yang beratur," tulis pemain kriket itu di Twitter.
Kerajaan sudah mengerahkan polis bersenjata dan tentera untuk mengawal stesen minyak.
Negara itu mengisytiharkan penutupan dua minggu institusi dan sekolah dalam usaha mengurangkan perjalanan dan menjimatkan stok bahan api yang semakin berkurangan di negara miskin itu.
"Tolong, jaga satu sama lain dalam barisan. Bawa air dan makanan yang mencukupi dan jika anda tidak sihat, beritahu orang terdekat di sebelah anda dan minta bantuan atau hubungi 1990. Kita perlu menjaga satu sama lain dalam masa yang sukar ini," kata pemain kriket itu.
Sri Lanka gagal membayar hutang asing AS$51 bilion (kira-kira RM224 bilion) pada April, dan sedang berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk bantuan.
Sumber: Harian Metro |
|