Edited by Tinot7 at 11-7-2022 03:09 AM
https://iamlejen.com/tak-selera-makan-makanan-murah-telatah-haiwan-di-zoo-dekat-jepun-ini-curi-perhatian-ramai/#.Yssho3bMJPY
Tak Selera Makan Makanan Murah, Telatah Haiwan Di Zoo Dekat Jepun Ini Curi Perhatian Ramai
Sebagai langkah untuk mengurangkan kos kerana terkesan dengan inflasi, sebuah akuarium di Kanagawa, Jepun terpaksa menukar makanan beberapa haiwan lautnya ke ikan yang lebih murah tetapi usaha mereka sia-sia sahaja.
Memetik laporan Mothership, haiwan-haiwan laut seperti penguin dan memerang di akuarium itu difahamkan telah diberi makanan baharu yang jauh lebih murah dari sebelumnya.
Walau bagaimanapun, apa yang mencuri perhatian orang ramai adalah sebuah video lucu yang memaparkan reaksi beberapa ekor penguin dan memerang ketika disuapkan ikan murah oleh pekerja zoo tersebut.
Sekiranya anda menonton video tersebut, penjaga zoo itu telah dikelilingi oleh sekumpulan penguin yang dilihat tidak bersemangat untuk menikmati waktu makan mereka.
Penjaga zoo itu kemudiannya menghulurkan ikan ke mulut seekor penguin raja tetapi haiwan itu sama sekali tidak terfikir untuk memakannya sebaliknya ia menutup paruhnya untuk mengelakkan makanan itu daripada memasuki mulutnya.
Selepas itum penjaga zoo yang sama turut menghampiri seekor penguin raja yang lain sambil membawa seekor ikan untuk disuapkan tetapi ia memusingkan lehernya untuk mengalihkan pandangan seolah-olah mengejek ikan itu.
Ketika waktu makan, sekumpulan memerang di akuarium itu seakan-akan tidak sabar untuk menikmati kepingan ikan yang telah dipotong dadu untuk mereka. Seekor memerang terus meludahkannya kembali sebaik sahaja ia menggigit kepingan ikan itu. Memerang yang lain kemudiannya pergi meninggalkan penjaga zoo itu bersama kepingan ikan yang telah dipotong.
Untuk pengetahuan semua, pihak akuarium telah membuat keputusan untuk menukar makanan kegemaran penguin dan memerang daripada ikan tenggiri kuda Jepun (aji) ke mackerel (saba).
Hal ini demikian kerana harga tenggiri kuda itu dipercayai telah meningkat kira-kira 20 ke 30 peratus dari tahun lepas di mana sebahagian daripada punca kenaikan harga ikan itu adalah kerana hasil tangkapan yang rendah.
Akuarium itu masih membeli beberapa ekor tenggiri kuda untuk makanan haiwan tetapi ia tidak bercadang untuk kembali sepenuhnya kepada ikan itu sehingga harga jatuh.
ANN pula melaporkan memerang dan penguin itu lebih terbuka untuk makan mackerel yang murah itu apabila ia dicampurkan dengan ikan tenggiri kuda.
Selain menukar makanan haiwan, pihak akuarium juga telah menggunakan beberapa kaedah lain seperti mengurangkan jumlah pam edaran daripada dua kepada satu sekali gus menjimatkan hampir separuh bil elektrik.
Dalam pada itu, ketua akuarium itu berkata mereka tidak akan memaksa mana-mana haiwan untuk makan apa yang mereka tidak mahu Anda boleh tonton video penuh di bawah.
|