|

RAKAMAN Toyota Hilux memandu di lorong kecemasan. FOTO tular
Kepala Batas: Pemandu pacuan empat roda yang memandu di lorong kecemasan sehingga tular di media sosial dikenakan tindakan saman oleh polis pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung rakaman video berdurasi satu minit 50 saat yang tular di laman sosial.
Menurutnya, rakaman itu memaparkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna putih melakukan kesalahan memandu di lorong kecemasan di Kilometer 129 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara bermula dari Sungai Dua menghala Bertam.
"Berdasarkan maklumat itu, polis seterusnya mengenalpasti butiran pemilik dan jenis kenderaan yang melakukan kesalahan serta individu terbabit dipanggil bagi membantu siasatan.
"Pada jam 9 pagi tadi, pemandu lelaki warga tempatan berusia 47 tahun itu tampil bersama kenderaannya di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.
"Lelaki berkenaan dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 atas kesalahan memandu di lorong kecemasan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd Radzi berkata, polis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan lalu-lintas bagi mengelak dikenakan tindakan demi menjaga kepentingan awam.
"Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial tindakan seorang pemandu memotong barisan dengan menggunakan lorong kecemasan untuk mengelak menempuh kesesakan luar biasa.
Perbuatan itu mendapat kecaman warganet dengan meminta lebih banyak penguatkuasaan diambil terhadap pemandu yang kurang sabar hingga boleh mendatangkan kecelakaan terhadap pengguna jalan raya lain khususnya penunggang motosikal.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... masan-disaman-polis |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|