CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2309|Reply: 3

[SEJARAH] Benarkah Jasad J.W.W. Birch Sudah Dipindahkan Dari Jiratnya Di Pasir Salak?

[Copy link]
Post time 22-8-2022 03:18 PM | Show all posts |Read mode
Benarkah Jasad J.W.W. Birch Sudah Dipindahkan Dari Jiratnya Di Pasir Salak?


Kita semua sedia maklum akan peristiwa besar yang berlaku pada 2 November 1875, iaitu peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch, Residen British bagi negeri Perak yang pertama. Akibat dari dilihat cuba untuk mengubah ‘status quo’ pembesar-pembesar Melayu Perak serta tidak hormat akan adat serta amalan orang Melayu, beliau telah dibunuh di tebing Sungai Perak Pasir Salak ketika sedang mandi di rumah rakitnya itu.

Dalam serangan pada pagi 2 Syawal tersebut tersebut, jurubahasa beliau bernama Mat Arshad yang ketika itu diarahkan untuk menampal surat pengisytiharan lantikan Residen Perak oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, telah menjadi mangsa pertama dibunuh oleh pengikut Dato’ Maharajalela. Akibat amukan orang Melayu selepas itu, Askar Sepoi Sikh Hend Sheer Singh dan jurumudi perahu Din Larut turut terbunuh dalam serangan berkenaan.


J.W.W.Birch

Selepas ditikam, Mat Arshad yang dalam keadaan cedera itu lari ke dalam air untuk menaiki perahu naga milik J.W.W. Birch namun sekali lagi ditetak oleh Seputum di bahagian kepala. Ketika ini J.W.W. Birch sedang berada di rumah mandi. Melihat amukan Melayu, pengawal J.W.W. Birch yang bernama Khalil Khan yang berdiri di hadapan rumah mandi tersebut serta memegang sepucuk pistol, tidak melepaskan tembakan sebaliknya terjun ke sungai bagi menyelamatkan dirinya sendiri bersama seorang lagi askar sepoi.

Sambil melaungkan yang J.W.W. Birch sedang mandi dan meminta pengikut untuk mengikutinya ke tempat mandi tersebut, Pandak Indut merejamkan lembing ke arah J.W.W. Birch yang sedang mandi itu. Kemudian diikuti oleh Che Ali (Kulup Ali), Ngah Jabor dan Pajang Bur. Dato Maharaja Lela bersama Dato Sagor turut membaling lembing ke arah tempat mandi J.W.W. Birch itu. Dalam masa yang sama, orang-orang Melayu yang lain merusuh menyerang sepoi-sepoi yang masih ada di kawasan berkenaan.

Akibat daripada tikaman lembing itu, J.W.W. Birch jatuh ke dalam sungai. Ketika ini Seputum berlari ke tepi sungai. Ngah Jabor kemudiannya menjerit memanggil Seputum dan menyuruhnya menetak J.W.W. Birch. Apabila J.W.W. Birch timbul semula di belakang rumah mandi, beliau ditikam oleh Si Tuah dengan lembing yang diberikan oleh Dato Maharaja Lela dan kemudian ditetak sebanyak dua kali oleh Seputum. J.W.W. Birch lalu tenggelam dan dihanyutkan oleh arus sungai.



Tentera British ketika Perang Perak

Sementara itu Si Gondah berteriak ‘amuk’ dan terus menikam mereka yang berada di dalam perahu. Beliau disertai oleh Panjang Bur, Si Tuah, Che Ali, Tuk Lela Putera, Pandak Indut, Ngah Jabor dan Seputum. Akibatnyanya seorang sepoi bernama Hend Sheer Singh dan jurumudi perahu Din Larut terbunuh. Manakala Dollah dan seorang sepoi bernama Karit Singh mengalami kecederaan.

Pengikut Birch yang bernama Hamid serta beberapa orang temannya tidak mengalami kecederaan dalam serangan tersebut. Beliau bersama temannya kemudian berusaha menyelamatkan kerani Mat Arshad dengan membawanya menaiki perahu ke Residensi British di Bandar Bharu. Dalam pada itu, ketika pasukan sepoi sedang cuba untuk berundur, mereka telah melepaskan tembakan ke arah orang Melayu yang berkumpul di tebing Sungai Perak. Akibat tembakan itu, dua pengikut Dato Maharaja Lela bernama Si Anji dan Si Awang terkorban. Orang-orang Melayu kemudian membalas tembakan ke arah kumpulan sepoi yang cuba berundur itu dan mengakibatkan seorang sepoi cedera di mulut dan beberapa orang lagi sepoi yang ketakutan terjun ke dalam sungai.

Tentera Sepoi

Hamid mengambil raifal sepoi lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah dua orang Melayu yang berdiri di tepi sungai. Salah seorang daripadanya rebah lalu ditarik oleh kawannya untuk pergi berlindung. Orang Melayu melepaskan tembakan ke arah perahu kenaikan Hamid yang turut membawa kerani Mat Arshad namun tidak mengenai sasaran. Dalam perahu tersebut, mereka sedaya upaya cuba untuk menyelamatkan kerani Mat Arshad. Mat Arshad ketika itu dalam keadaan parah di bahagian kepala, perut dan bahu akibat menerima tikaman serta tetakan. Ketika perahu sedang melalui Kuala Trus, kerani Mat Arshad meninggal dunia.

Frank Swettenham ketika serangan ini berlaku sedang berada di sekitar kawasan Hulu Perak. Satu pasukan orang Melayu seramai 16 orang yang diketuai oleh Panglima Perang Semaun telah diarahkan oleh Sultan Ismail untuk memburu dan membunuh Frank Swettenham jika berjaya menjumpainya. Pasukan ini walaubagaimanapun gagal untuk mengesan kedudukan Swettenham kerana hari sudah malam.




Frank Swettenhamk

Swettenham akhirnya berjaya tiba di Residensi British Bandar Bharu pada pagi 5 November 1875. Setibanya beliau di situ, beliau menerima sepucuk surat dari Kapten Innes yang menyatakan bahawa pasukan bantuan yang terdiri daripada 60 orang askar serta 30 orang polis akan berangkat untuk memperkuatkan kedudukan Bandar Bharu. Beliau juga dengan segera menghantar surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat yang kemudiannya menghubungi Gabenor Jeneral British India. Akhirnya Gabenor Jeneral British India setuju untuk menghantar 1,500 tentera bagi membantu British di Perak.

Mayat J.W.W. Birch dijumpai pada hari yang sama (2 November 1875, hari serangan di Pasir Salak) oleh Daing Patundo, anak Raja Daing yang mesra dengan pihak Inggeris, kira-kira 182.9 meter (200 ela) dari tempat kejadian. Mayat tersebut kemudian dibawa ke Residensi British di Bandar Bharu. Mayat J.W.W. Birch kemudian diperiksa oleh Inspektor Lagis Bin Suboh dan beliau melaporkan bahawa terdapat beberapa kecederaan di badannya seperti ditikam oleh lembing, kaki kirinya ditetak oleh parang dan jarinya terputus. Turut dijumpai kesan tetakan di kepala dan tangan.


Tentera British di Sungai Perak

Mayat J.W.W. Birch dikebumikan di kawasan Residensi British di Bandar Bharu pada malam 6 November 1975 setelah pasukan bantuan British tiba di residensi berkenaan. Beliau disemadikan dengan penuh penghormatan ketenteraan. Setelah Perang Perak meletus dengan tibanya tentera British dari India dan Hong Kong, beberapa orang tentera British yang terbunuh turut dikebumikan bersebelahan kubur J.W.W. Birch. Jenazah kerani Mat Arshad pula dikebumikan kira-kira 100 meter dari kedudukan kubur J.W.W. Birch.

Pada tahun 1887, iaitu 12 tahun selepas J.W.W. Birch dikebumikan di kawasan berkenaan, Residen British Perak ke 8 iaitu Sir Ernest Woodford Birch (beliau juga merupakan anak sulung kepada mendiang J.W.W. Birch) telah mentauliahkan Mr. J. H. Bodestyne bagi membina 5 tiang batu nisan salib yang diperbuat dari batu granit untuk jirat J.W.W. Birch serta askar-askar yang dikebumikan disitu. Turut dibina pagar besi mengelilingi kubur-kubur berkenaan.


The Straits Times, 22 December 1887, Page 5

Binaan batu-batu nisan yang ada di jirat ini dibuat oleh tukang pembuat batu nisan Kristian yang terkenal di Singapura pada waktu itu dan strukturnya masih kekal dari dahulu sehingga ke hari ini sejak ia dipasang pada jirat J.W.W. Birch serta askar-askar British pada tahun 1887.




Sir Ernest Woodford Birch

Pengkaji serta penulis buku sejarah terkenal Malaysia yang bernama N.A. Halim di dalam bukunya ada menyatakan bahawa, kawasan perkuburan Birch telah diberi pengawasan oleh pihak British sejak tahun 1875 lagi. Mereka dipertanggungjawabkan untuk menjaga serta membersihkan kawasan perkuburan berkenaan. Mengikut catatan penjaga-penjaga yang diberi gaji oleh pihak Inggeris untuk memelihara perkuburan tersebut adalah seperti berikut, Mohd Taha Bin Ahmnad Tahun 19875-1897, Mohd Shahid Bin Mohd Taha 1897-1937, Haji Mahidin Bin Mohd Shahid 1937-1959, Hassan Bin Haji Mahidin 1959 dan seterusnya. Dari senarai ini maka jelaslah penjaga kubur Birch adalah diwarisi oleh satu keturunan. Bahkan sehingga akhir tahun 1980-an, diceritakan pewaris yang menjaga kubur ini masih mengambil gaji mereka yang dibayar oleh Pesuruhjaya British di Malaysia di Public Bank Teluk Anson (Teluk Intan).

Pada sekitar tahun 2018, team Orang Perak telah menjalankan ekspidisi untuk mencari semula kubur Mat Arshad yang sudah tidak ditemui (kali terakhir rekod menunjukkan kubur tersebut dijumpai adalah pada tahun 1970-an ketika lawatan pengkaji N.A. Halim). Dalam usaha tersebut, team Orang Perak telah menghubungi beberapa pihak termasuk pihak Kompleks Sejarah Pasir Salak serta pakar-pakar sejarah yang lain. Akhirnya kubur Mat Arshad berjaya dijejaki semula dalam ekspidisi berkenaan.


Kawasan perkuburan Birch

Hasil dari temu bual dengan pihak Kompleks Sejarah Pasir Salak berkenaan dengan hal dakwaan penduduk tempatan bahawa jasad J.W.W. Birch sudah tidak ada disitu dan dibawa pulang ke England, pihak Kompleks Sejarah Pasir Salak telah menyangkal dakwaan tersebut kerana tiada bukti mahupun rekod yang menyatakan hal sedemikian ada berlaku. Segelintir penduduk tempatan mendakwa bahawa jasad Birch sudah dibawa keluar dan hanya tinggal pakaian beliau sahaja disana. Hinggakan ada yang mendakwa pihak Inggeris membawa helikopter bagi memindahkan jasad Birch itu. Cerita-cerita lisan seperti ini agak popular dikalangan masyarakat, namun tidak ada pula usaha untuk mengesahkan perkara itu benar atau tidak. Kita sedia maklum pihak Inggeris agak teliti dalam menyimpan rekod-rekod apatah lagi jika melibatkan pegawai-pegawai mereka.

Sememangnya ada pernah berlaku pemindahan semula kubur pegawai British dan ada rekod yang menyatakannya. Seperti contoh apabila mendiang Kapten Syers (beliau merupakan watak utama dalam filem Mat Kilau) yang sebelum ini dikebumikan di Pekan, Pahang kemudian dipindahkan ke Kuala Lumpur pada tahun 1899. Bahkan dinyatakan bahawa pengebumian semula beliau ini telah dihadiri seramai 6000 orang masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin Inggeris di Tanah Melayu seperti Sir Frank Swettenham, Mr. Rodger, Sir Ernest Birch dan beberapa orang lagi. Kapten Syers terbunuh selepas ditanduk oleh seladang yang diburunya.


Kapten H.C, Syers

Kemudian kita boleh lihat rekod yang menyatakan tentang upacara pengebumian mantan Gabenor Borneo Utara yang juga pernah menjawat jawatan Residen British Perak iaitu Sir Ernest Woodford Birch. Beliau yang juga merupakan anak sulung kepada J.W.W. Birch meninggal dunia pada 17 Januari 1930 di kediamannya di Bexhill on Sea, United Kingdom. Mayat mendiang kemudian menjalani upacara di Gereja St Barnabas, Bexhill on Sea sebelum dikebumikan di perkuburan keluarganya di Perkuburan Bexhill.

Ini menunjukkan jika benar jasad J.W.W. Birch dibawa keluar dari Perak ke United Kingdom, sudah tentu jasadnya itu akan dikebumikan di tanah perkuburan keluarganya di Bexhill. Kemudian tidak mungkin Ernest Birch sewaktu menjadi residen akan mengeluarkan belanja besar bagi memperindahkan kawasan perkuburan J.W.W. Birch jika tiada lagi jasadnya disitu. Juga jika kubur berkenaan dibongkar, sudah pasti batu-batu nisan yang dipasang pada 1877 itu musnah.

Satu perkara lagi yang cukup kukuh, sudah pasti binaan asal batu nisan jirat tersebut akan musnah untuk tujuan pemindahan namun ia masih kekal sehingga hari ini dalam keadaan asal sejak ia dibina dalam tahun 1887. Sama juga seperti usaha pihak kedutaan British membayar orang tempatan bagi menjaga kawasan tersebut. Jadi kesimpulannya, hasil dari carian dan rekod yang ada, adalah diyakini bahawa jasad J.W.W. Birch dan tentera-tentera Inggeris yang dikebumikan di kawasan Residensi British di Bandar Bharu itu masih kekal hingga ke hari ini.

Rujukan:

Pasir Salak Pusat Gerakan Menentang British, Prof Abdullah Zakaria
Tempat-Tempat Bersejarah Perak, N.A. Halim
Kaiserscross.com
Arkib Straits Time

Sumber:https://www.orangperak.com/benar ... di-pasir-salak.html

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 23-8-2022 07:40 AM | Show all posts
fuhhh.. first time iols baca sejarah tragedi pasir salak yang begitu detail..
takziah diucapkan kepada semua yang terlibat
Reply

Use magic Report

Post time 23-8-2022 07:41 AM | Show all posts
fuhhh.. first time iols baca sejarah tragedi pasir salak yang begitu detail..
takziah diucapkan kepada semua yang terlibat
Reply

Use magic Report

Post time 23-8-2022 09:13 AM | Show all posts
bila baca blik teringat masa sekolah cikgu ajar sejarah...
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 11:26 AM GMT+8 , Processed in 0.149121 second(s), 20 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list