Kitab Codex Gigas, Naskhah Kuno Penuh Misteri Yang Ditulis Oleh Iblis Pada Abad Ke-13
Tahukah anda terdapat sebuah buku yang dipercayai mengandungi segala macam pengetahuan mengenai kehidupan manusia dan alam gelap. Buku ini dikatakan ditulis oleh seorang penulis yang telah menjual jiwanya kepada iblis dengan tujuan untuk mendapat inspirasi bagi setiap teks yang ditulis di dalam buku tersebut.
Devil’s Bible atau Codex Gigas adalah sebuah buku teks tebal yang memiliki 620 mukasurat dan direka menggunakan kulit binatang. Para penyelidik menyatakan bahawa buku ini mempunyai kelebaran 1 meter, tebal 22 sentimeter dan mempunyai berat sehingga 74 kilogram.
Buku ini dipanggil sebagai Devil Bible disebabkan terdapat satu lukisan misteri yang menggambarkan rupa bentuk kaum iblis. Pada mukasurat 290, anda dapat melihat sebuah lukisan yang dipercayai dilukis pada abad pertengahan dengan wajah yang jahat, mempunyai tanduk di kepala, kuku yang panjang dan bermata merah.
Mengikut kisah yang diceritakan, Codex Gigas yang disebut ensiklopedia atau rujukan ilmu pengetahuan abad pertengahan telah dicipta oleh seorang rahib di Bohemia pada abad ke-13. Menurut cerita yang beredar mengenai buku ini, ia siap ditulis oleh rahib terbabit dalam hanya satu malam bagi mengelak daripada dihukum kerana melanggar peraturan gereja.
Bagi menyelamatkan nyawanya, dia telah berjanji untuk membuat sebuah buku mengenai kehidupan manusia dalam hanya satu malam. Pada ketika itu, seseorang boleh menyiapkan sebuah buku seperti Codex Gigas dalam satu hari jika dia mengadakan perjanjian terlarang dengan iblis.
Disebabkan terdesak untuk menyelamatkan nyawanya, rahib terbabit memanggil iblis untuk membantunya menyiapkan buku terbabit. Sebagai balasan, dia akan menjual jiwanya kepada iblis. Perjanjian pun berlaku, rahib terbabit berjaya menyiapkan Codex Gigas dengan bantuan iblis dan potret iblis dipaparkan di tengah halaman sebagai tanda penghormatan.
Walaupun cerita mengenai keajaiaban Codex Gigas yang dibuat bersama dengan iblis lebih menarik didengar, bagi para penyelidik di Perpustakaan Nasional Stockholm, Sweden – tempat di mana Codex Gigas disimpan – mereka memberi gambaran yang lebih logik tentang berapa lama manuskrip ini berjaya dihasilkan oleh seseorang.
“Sekiranya penulis bekerja selama enam jam sehari dan menulis enam hari seminggu, maka naskah ini dapat disiapkan dalam masa lima tahun. Sekiranya penulisnya adalah seorang rahib, dia mungkin hanya dapat bekerja sekitar tiga jam sehari dan ini bermakna naskah itu memerlukan masa sepuluh tahun untuk ditulis,” kata Perpustakaan Nasional Sweden seperti yang dikutip oleh atlasobscura.
“Disebabkan penulis memerlukan lebih banyak pengetahuan sebelum mula menulis, ini akan memanjangkan masa yang diperlukan untuk menyelesaikan manuskrip. Penulis juga menghias manuskrip, jadi proses untuk menyiapkan manuskrip mungkin memakan masa sekurang-kurangnya 20 tahun atau bahkan 30 tahun.”
Sementara itu, menurut National Geographic, hasil analisis tulisan Codex Gigas oleh paleografer, Michael Gullick, ia menunjukkan bahawa naskah itu sebenarnya ditulis oleh orang yang sama. Dia menganggap bahawa buku ini adalah keajaiban kerana untuk menghasilkan kaligrafi Codex Gigas, seseorang perlu bekerja sekurang-kurangnya lima tahun tanpa berhenti.
Untuk rekod, naskhah tersebut tidak hanya berisi dengan Perjanjian Baru dan Lama, tetapi pelbagai jenis teks pendek yang membincangkan beberapa masalah yang dihadapi pada masa itu seperti, eksorsisme, tatabahasa, kalendar, perubatan, dan banyak lagi.