View: 371|Reply: 0
|
[Johor]
Dugaan buat penduduk Kampung Baru Gelang Patah
[Copy link]
|
|
TUMIRAN memeriksa barangan elektrik yang dihantar kenalan dan pelanggan bagi dibaiki musnah ditenggelami banjir di Kampung Baru, Gelang Patah, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Iskandar Puteri: Kejadian banjir kilat yang berlaku tanpa diduga semalam menyebabkan hampir semua harta benda penduduk Kampung Baru, Gelang Patah, di sini, musnah.
Tinjauan di kampung berkenaan mendapati penduduk sedang membersihkan rumah serta mengeluarkan peralatan termasuk perabot, barangan elektrik, pakaian dan tilam yang musnah dan basah lencun di hadapan rumah masing-masing.
Kesan banjir kilat di kampung berkenaan dilihat amat teruk berikutan hampir kesemua harta benda penduduk rosak dan terpaksa dibuang.
Penduduk terjejas, Tumiran Tumian, 46, bingung selepas kereta Perodua Kancil milik keluarga di samping perabot dan peralatan elektrik di rumahnya sempat diselamatkan.
Katanya, ketika kejadian dia baru mula bertugas di tempat kerjanya sebelum menerima panggilan daripada isterinya.
"Hujan memang lebat bermula jam 6 pagi semalam sebelum saya keluar bekerja. Namun kira-kira jam 8.30 pagi semalam isteri menghubungi saya dan meminta pulang segera kerana air banjir mula masuk ke dalam rumah.
"Setibanya di rumah, paras air banjir sudah mencecah 0.5 meter atau paras lutut. Dalam kekalutan itu saya dan isteri hanya sempat mencapai dokumen penting sebelum keluar rumah bagi menyelamatkan diri.
"Air naik terlalu pantas sehingga paras dada atau lebih satu meter sehingga kesemua perabot, barang elektrik dan peralatan sekolah anak tidak dapat diselamatkan.
"Paling ralat, barangan elektrik yang dihantar kenalan dan pelanggan bagi dibaiki turut musnah ditenggelami banjir," katanya ketika ditemui.
Hujan lebat lebih lima jam semalam menyebabkan beberapa lokasi termasuk jalan raya dan rumah penduduk sekitar bandaraya ini ditenggelami air.
Beberapa kawasan di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pontian, Batu Pahat dan Muar turut dinaiki banjir kilat sehingga hampir 200 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Seorang lagi penduduk terjejas, Robiah Mohd Akil, 62, berkata kejadian banjir kilat semalam berlaku pantas setelah dengan air naik ke paras 0.5 meter dalam masa tidak sampai satu jam saja.
Warga emas itu hanya tinggal berdua bersama suaminya, Johari Abd Jalil, 68, turut panik dan tidak sempat berbuat apa-apa berikutan air banjir naik terlalu pantas.
Dia yang baru menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di perut di Hospital Sultan Ismail (HSI) bulan lalu tetap menguatkan semangat cuba menyelamatkan sebanyak mungkin barang berharga di rumah itu.
"Walaupun keadaan fizikal tidak mengizinkan, saya dan suami tetap cuba mengalihkan barang penting ke tempat tinggi.
"Kami suami isteri kemudian terpaksa menyelamatkan diri dengan duduk di tempat yang lebih tinggi di dalam rumah sementara menunggu bantuan tiba," katanya yang dipindahkan ke PPS menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Gelang Patah semalam.
Sementara itu, jirannya, Basroen Adnan, 59, berkata, hampir 100 peratus perabot dan barangan elektrik di rumahnya rosak dalam kejadian banjir kilat yang berlaku.
Pengawal keselamatan itu berkata, dia terpaksa membatalkan hasrat untuk pergi kerja selepas melihat rumahnya dinaiki air dengan pantas.
"Ketika itu saya menjangkakan hanya banjir kilat seperti biasa, tidak sangka pula air naik dengan cepat. Ini disebabkan pintu air yang rosak di Sungai Senapang berhampiran.
"Dengan keadaan banjir kilat saja, air sudah naik paras dada atau lebih satu meter, entah macam mana keadaan kami jika hujung lebat bertembung fenomena air pasang besar pada hujung bulan ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... g-baru-gelang-patah |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|