Georgetown: "Pada mulanya hanya lubang kecil terbentuk di jalan raya itu, tidak lama kemudian ia semakin besar sehingga kerusi yang diletakkan sebagai tanda amaran juga terperosok dalam lubang itu".
Demikian kata penduduk Zakaria Ismail, 60-an, mengenai kejadian tanah mendap yang berlaku di Jalan Sungai berhampiran Jalan Sungai Pinang, di sini, hari ini.
Zakaria berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dia bersama rakan sedang minum di gerai berhampiran sebelum diberitahu pemilik gerai mengenai lubang yang terbentuk.
Menurutnya, pada mulanya, peniaga terbabit meletakkan kerusi berhampiran lubang itu sebagai amaran kepada pengguna jalan raya sebelum menghubungi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi meminta bantuan dan melakukan hebahan.
"Tidak lama kemudian ketika mahu mengambil tali, lubang menjadi semakin besar sehingga kerusi berkenaan turut terperosok di dalamnya, jadi kami terus memasang tali supaya ia tidak dihampiri sesiapa."
"Mujurlah tiada kenderaan yang melalui jalan itu ketika kejadian kerana laluan berkenaan memang sibuk terutama pada waktu puncak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu Pengerusi MPKK Kampung Maqbul, Muhamad Nayim Othuman berkata, selepas menerima maklumat mengenai kejadian dia terus membuat hebahan menerusi aplikasi kumpulan Whatsapp sebelum menghubungi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi tindakan lanjut.
"MBPP mengambil tindakan pantas dengan melakukan penutupan jalan dan diharap orang ramai peka dengan arahan yang diberi sepanjang laluan itu," katanya.
Tinjauan di lokasi mendapati lubang berkenaan sudah terbentuk kira-kira lebih satu meter lebar dan MBPP juga turut berada di lokasi bagi tindakan lanjut.
Difahamkan bahawa paip di bawah tanah itu adalah di bawah tanggung jawab Indah Water Konsortium (IWK) dan pihak berkenaan juga sudah sedang dalam tindakan.