View: 371|Reply: 0
|
[Terengganu]
Pindah lembu tanpa kebenaran, pemandu treler didenda RM8,000
[Copy link]
|
|
ertuduh, Manogaran (kiri) bersama Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Mohd Shahihan Mohd Tahar, (dua, kanan) selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Besut, hari ini atas pertuduhan memindahkan 50 ekor lembu hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Ogos lalu. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Besut: Seorang pemandu treler didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan 50 ekor lembu hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Tertuduh, N Manogaran, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuziana Shakila Raja Mamat.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memindahkan 50 ekor lembu menggunakan treler tanpa mendapat kebenaran bertulis Pengarah Veterinar Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Kampung Kuala Besut di sini, pada 12.20 pagi pada 6 Ogos lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi kawalan penyakit kuku dan mulut dan hawar berdarah bagi negeri Terengganu yang diwartakan mengikut Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 dan jika sabit dengan kesalahan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Manogaran memohon kepada mahkamah supaya dapat diringankan denda kerana perlu menyara anak yang masih belajar serta isterinya tidak bekerja.
Raja Norshuziana kemudiannya menetapkan hukuman denda sebanyak RM8,000 dan dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM63,310 dilucutkan hak dan wang hasil jualan ternakan menjadi hasil kerajaan.
Treler berkenaan dikembalikan kepada pemilik asal.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan ketika dalam perjalanan menghantar ternakan itu dari arah Kampung Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan melalui Kampung Pachakan, Besut menghala ke Terengganu.
Sementara itu, seorang pelajar didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret yang sama selepas mengaku bersalah memindahkan tiga ekor lembu hidup tanpa kebenaran JPV.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan tiga ekor lembu menggunakan pacuan empat roda tanpa mendapat kebenaran bertulis Pengarah Veterinar Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Kampung Padang Landak di sini, pada 10.50 malam 15 Ogos lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi kawalan penyakit kuku dan mulut dan hawar berdarah bagi negeri Terengganu yang diwartakan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 dan jika sabit dengan kesalahan boleh dihukum di bawah Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953 dan dibaca bersama Seksyen 73 Akta Binatang 1953 jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM15,000.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... eler-didenda-rm8000 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|