BALIK PULAU: Sebanyak 50,667 permohonan kemudahan di bawah Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia membabitkan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Zon Utara diluluskan setakat ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata jumlah itu mewakili 54 peratus daripada 87,222 permohonan pelajar universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis.
"Daripada jumlah ini, 9,001 permohonan pelajar IPT di Pulau Pinang diluluskan manakala selebihnya iaitu 17,967 dari Perak, 14,913 (Kedah) dan 8,786 (Perlis).
Permohonan bagi Fasa Dua ditutup 30 September lalu dan kerajaan menerima 474,311 permohonan dari seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan penyerahan Peranti Siswa kepada 50 pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Arau, Merbok, Permatang Pauh selain Politeknik Balik Pulau, Politeknik Seberang Perai dan Kolej Cosmopoint cawangan Pulau Pinang.
Noraini berkata, pelajar IPT di bawah KPT adalah kumpulan terbesar memohon iaitu seramai 376,180 orang atau 79 peratus, UA (58 peratus), IPTS (28 peratus) manakala politeknik dan kolej komuniti masing-masing 12 dan dua peratus.
Beliau berkata, sesi pengagihan seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan 50,667 pelajar dengan pengagihan dijangka selesai dalam dua bulan ini.
Katanya, tujuh lagi IPT dijadual mengagihkan Peranti Siswa iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) kampus Besut, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
"Saya harap pelajar memanfaatkan peranti ini bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pendidikan," katanya.