|
KUALA KRAI: Beberapa cangkerang siput sedut dan pecahan tembikar dipercayai berusia antara 1,000 hingga 5,000 tahun ditemui di Gua Keris, dekat Dabong, di sini, pagi tadi.
Artifak itu ditemukan sepasukan pegawai Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan ketika melakukan penilaian Stong Geopark membabitkan tiga gua iaitu Gua Keris, Gua Pagar dan Gua Ikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan, Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, berkata di gua, siput sedut memang menjadi bahan makanan dan juga barang pengebumian masyarakat pra sejarah.
"Selepas itu kami jumpa pecahan tembikar iaitu bahagian bibir dan badan yang mana ciri tembikar adalah pada zaman neolitik yang berusia antara 1,000 hingga 5,000 tahun.
"Ini bermakna sudah ada masyarakat pra sejarah tinggal di gua berkenaan
"Kita jumpa artifak ini di permukaan tanah, bermakna penyelidikan arkeologi yang lebih saintifik perlu dilakukan bagi membolehkan artifak lain yang masih belum diganggu ditemui," katanya.
Beberapa cangkerang siput sedut dan pecahan tembikar dipercayai berusia 1,000 hingga 5,000 tahun ditemui di Gua Keris, Dabong, di sini, pagi tadi. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Dabong (MDD), Mohd Hariff Ghazali.
Mengulas lanjut, katanya, hasil penemuan itu menunjukkan gua berkenaan berpotensi untuk dikaji.
"Kita membawa keluar beberapa sampel sahaja untuk diserahkan kepada MDD untuk tindakan lanjut dan masih banyak cangkerang siput sedut itu serta pecahan tembikar berada di lokasi berkenaan.
"Untuk kajian lebih lanjut, pihak MDD boleh membuat permohonan kepada Jabatan Warisan Negara supaya melakukan kajian di lokasi berkenaan.
"Sekiranya pihak kami dibenarkan melakukan kajian, bahan ini akan dihantar ke makmal pentarikhan di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan," katanya yang percaya Gua Keris berpotensi dihuni masyarakat pra sejarah.
Mokhtar (kiri) bersama pasukan pegawai Jawatankuasa Pelaksana Geopark menunjukkan penemuan artifak dipercayai cangkerang siput sedut dan pecahan tembikar berusia 1,000 hingga 5,000 tahun ditemui di Gua Keris, Dabong, di sini. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
https://www.bharian.com.my/berit ... ahun-ditemui-di-gua |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|