Georgetown: Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) menyediakan tiket funikular dua hala secara percuma kepada pengundi di Bukit Bendera yang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.
Ia berikutan Dataran Stesen Atas Bukit Bendera itu akan menjadi satu daripada saluran pusat mengundi Parlimen Bukit Bendera.
PBBPP menerusi kenyataannya berkata, tiket itu bagaimanapun hanya bagi pengundi yang berdaftar di Dataran Stesen Atas Bukit Bendera.
"Pengundi berdaftar perlu mengesahkan identiti mereka di Kaunter Info Pengundi yang terletak di Stesen Bawah Bukit Bendera bagi mendapatkan tiket percuma untuk membuang undi di pusat mengundi di Dataran Stesen Atas Bukit Bendera.
"Orang ramai yang mempunyai keperluan khas dan memerlukan bantuan, boleh hubungi kakitangan perkhidmatan pelanggan kami.
"Selain itu, kerusi roda turut disediakan di kaunter perkhidmatan bagi kemudahan bersama, " katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.