View: 330|Reply: 0
|
[Johor]
Pasangan kembar 'cun' teruja kongsi pentas konvokesyen
[Copy link]
|
|
AMIRAH Syafirah (kanan) dan Amirah Syahirah bergambar kenangan selepas Majlis Konvokesyen Ke-66 UTM. FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: "Rahsia kami sama-sama ke menara gading dan berjaya menamatkan pengajian adalah tidak pernah lokek ilmu dan cemburu sesama sendiri," kata graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Amirah Syafirah Rizal, 23, dari Taman Tampoi Indah di sini.
Anak keenam daripada lapan beradik berkata, dia bersyukur kerana tercapai impian bergelar graduan serta berkongsi pentas konvokesyen bersama kembarnya, Amirah Syahirah, 23, menjadi kenyataan hari ini.
Amirah Syafirah berkata, mereka bukan saja pasangan kembar seiras malah turut berkongsi minat dan cita-cita sama untuk bergelar jurutera sejak kecil lagi.
Menurutnya, pencapaian mereka bukan saja bersandarkan minat atau kerelaan sendiri untuk belajar malah atas dorongan ibu bapa selain adik-beradik lain yang banyak membantu.
Katanya, bapanya, Rizal Hassan, 64, adalah bekas pemandu bas manakala ibunya, Suriyani Abdullah, 53, adalah suri rumah.
"Pengorbanan ibu dan ayah adalah amat besar kerana walaupun kami bukan keluarga senang, mereka sentiasa menyediakan kemudahan yang selesa.
"Kami bersyukur kerana masing-masing menerima penajaan biasiswa untuk melanjutkan pengajian termasuk saya menerima biasiswa daripada UTM manakala adik pula menerima biasiswa daripada Yayasan Sultan Iskandar.
"Alhamdulillah kami berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik," katanya yang lahir pada 10 Jun 1999.
Sementara itu, Amirah Syahirah berkata, teknik mengulangkaji pelajarannya adalah berbeza berbanding pasangan kembarnya.
Menurutnya, dia lebih gemar membuat latihan manakala pasangan kembarnya lebih selesa mengulangkaji dengan menggunakan nota ringkas.
Katanya, sejak di bangku sekolah, di kolej ketika mengikuti pengajian matrikulasi hingga ke universiti, dia dan pasangan kembar tidak pernah berpisah malah mereka juga rakan sebilik di asrama.
"Bagi pengajian kali ini, saya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.6 manakala kakak pula 3.47.
"Kami bersyukur kerana menerima peluang pekerjaan sebagai jurutera di sebuah syarikat kejuruteraan di Changi, Singapura dan kami akan melapor diri pada 12 Disember depan.
"Kami nekad meringankan beban ibu bapa dan membalas jaga mereka serta bercadang untuk melanjutkan pengajian selepas tempoh beberapa tahun selepas bekerja," katanya.
Pasangan kembar berkenaan adalah antara 7,934 graduan di Majlis Konvokesyen Ke-66 UTM termasuk seramai 441 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD); 1,478 Ijazah Sarjana; 4,368 (Sarjana) dan 994 (Diploma) akan menerima ijazah dan diploma masing-masing yang disampaikan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail pada Majlis Konvokesyen UTM Ke- 66 hari ini.
Seramai 755 graduan adalah penuntut asing dari 42 negara.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -pentas-konvokesyen |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|