View: 3746|Reply: 0
|
Mainan Ayaq Mata Toy terhasil dengan keringat dan air mata
[Copy link]
|
|
Mainan Ayaq Mata Toy terhasil dengan keringat dan air mata
ANTARA mainan yang dihasilkan Wan Muhammad Aznan yang menjadi 'kegilaan' pengumpul mainan dewasa. FOTO ihsan pembaca
Sik: Usianya mencecah 50 tahun namun tidak menghalang kreativiti pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta menghasilkan pelbagai jenis mainan sejak empat tahun lalu.
Sehingga kini Wan Muhammad Aznan Wan Azmi, 49, menghasilkan kira-kira 1,000 mainan adiwira tempatan dan kereta yang dicipta mengikut imaginasi sendiri di bengkelnya di Chepir, di sini.
Wan Muhammad Aznan berkata, semua mainan itu adalah buatan tangannya yang dijenamakan Ayaq Mata Toy kerana ia melalui proses yang sangat teliti dan rumit.
Menurutnya, idea menghasilkan mainan itu tercetus ketika dia menghadiri festival mainan di Jakarta, Indonesia pada 2016 apabila melihat negara jiran itu sudah mempunyai banyak pilihan mainan tempatan.
"Itu yang mencetuskan idea kepada saya untuk menghasilkan mainan sendiri untuk jenama tempatan. Proses menghasilkannya memang tidak mudah kerana ia dibuat dengan keringat dan air mata, malah kadang-kadang pernah terhiris jari dengan pisau.
"Saya mula serius buat mainan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ketika itu banyak masa terluang sebab kelas dibatalkan.
"Saya mendapatkan tunjuk ajar daripada rakan yang berada dalam bidang rekaan mainan selain banyak belajar sendiri melalui buku dan forum dalam talian," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pada mulanya mainan itu dihasilkan sepenuhnya dengan tangan tetapi sekarang menggunakan teknologi dan sedikit 3D untuk bahagian yang kecil serta sukar dibuat dengan acuan.
Katanya yang juga pengasas kelab Collectors Toy Fair Kuala Lumpur (CTFKL), setakat ini, dia mempunyai 20 siri mainan di mana setiap siri mempunyai 50 hingga 150 unit edisi terhad.
"Antara yang dihasilkan figura Robot Kampung MATNOQ, Pelik Series Manusia kepala router, Adiwira Semut Merah, Purple Disc Dvd R Man, Majlis Pelancaran Man dan Deloton Saga (untuk kereta).
"Rekaan yang paling sukar untuk dihasilkan adalah Semut Merah kerana antenanya kecil dan mudah patah selain perincian pada mainan itu juga lebih banyak.
"Dalam seminggu saya boleh menghasilkan antara 10 hingga 15 mainan ini," katanya yang mengajar subjek seni reka grafik.
Wan Muhammad Aznan berkata, harga mainan bermula RM139 hingga RM189 mengikut rekaan yang dijual melalui laman web dengan setiap mainan diberikan nombor siri dan sijil keaslian.
"Tak semuanya dijual kerana ada sebahagiannya dihasilkan untuk simpanan sendiri. Semua mainan ini adalah untuk pengumpul dewasa. Saya juga selalu buat lelongan amal untuk membantu sahabat kelab mainan saya (CTFKL) yang dalam kesusahan.
"Selain itu, ada juga mainan yang dibeli dengan hasil jualan seperti 'hot wheels' akan diberikan secara percuma ketika 'ride' mainan kepada kanak-kanak untuk berkongsi rezeki," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/ ... ringat-dan-air-mata
|
|
|
|
|
|
|
| |
|