CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 510|Reply: 0

[Negeri Sembilan] Luluh hati ibu, bola mata anak terpaksa dibuang

[Copy link]
Post time 3-12-2022 03:02 PM | Show all posts |Read mode
Seremban: Luluh hati seorang ibu apabila anak yang baru berusia dua tahun kini kehilangan bebola mata sebelah kiri akibat kanser.

Meskipun gelagatnya ceria seperti kanak-kanak lain, bola mata Muhammad Eshal Daiyan Mohd Azriq terpaksa dibuang kerana kanser pada mata kirinya itu sudah mulai merebak ke saraf.

Malah, pihak hospital mengesahkan mata sebelah kanan juga diserang kanser dan kini anak bongsu daripada dua beradik itu terpaksa menjalani kemoterapi yang menyebabkan rambutnya gugur dan hilang selera makan.


Hati lebih pilu apabila mengetahui bapanya, Mohd Azriq Azman, 30, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal membanting tulang bekerja sebagai penghantar makanan.

Ibunya, Nurhaleda Izatty Mohd Arif, 29, berkata, sejak April lalu dia dan suami mendapati mata kiri anaknya berkilat apabila terkena cahaya.

"Daiyan memang tidak menunjukkan sebarang simptom sakit atau demam. Kami pernah ke klinik untuk memeriksa matanya, namun dimaklumkan ia adalah normal.

"Bagaimanapun, pada Ogos lalu, seorang doktor pakar yang juga kenalan kepada salah seorang ahli keluarga mendakwa keadaan itu disebabkan kanser dan sudah berada pada tahap kritikal sebelum kami ke klinik dan terus dirujuk ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS)," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Senawang Jaya, di sini.

Nurhaleda Izatty berkata, anaknya kemudiannya dirujuk ke Hospital Tunku Azizah (HTA) di ibu negara sebelum doktor mengesahkan kanser pada mata sebelah kiri sudah berada pada tahap kritikal.

"Tanda mata berkilat atau bersinar yang kami sedari pada April sebenarnya matanya sudah tidak boleh melihat. Namun dia masih kanak-kanak dan tidak pandai untuk memaklumkan kepada orang dewasa.

"Sudah lama mata kirinya tidak boleh melihat. Doktor memaklumkan ia sudah teruk dan bola matanya perlu dibuang sebelum satu pembedahan dijalankan pada 11 November lalu.

"Mata kanannya juga diserang kanser namun masih berfungsi dan Daiyan kini menjalani rawatan kemoterapi sejak Ogos lalu di HTA bagi mematikan sel kanser daripada terus merebak dan hasilnya positif," katanya.

Menurutnya, dia suami sangat terkejut apabila kali pertama anak mereka disahkan menghidap kanser dan sehingga kini masih sukar untuk menerima Daiyan sudah kehilangan salah satu mata.

"Bagaimanapun, kami reda dan bersyukur kerana mata kanannya masih boleh diselamatkan. Kami tidak mampu untuk bayangkan jika Daiyan kehilangan kedua-dua mata sedangkan dia masih kanak-kanak," katanya.

Bapa kanak-kanak itu, Azriq memaklumkan, pendapatannya sebagai penghantar makanan terjejas selepas tidak dapat bekerja kerana sering berulang-alik ke ibu negara bagi rawatan Daiyan.

"Saya kehilangan sebahagian jari dan tangan akibat kemalangan ketika bekerja di kilang pada usia 18 tahun dan kini mempunyai kad OKU. Saya menyara keluarga dengan bekerja sebagai penghantar makanan.

"Kos rawatan Daiyan tidak tinggi kerana dirawat di hospital kerajaan, namun perbelanjaan pengangkutan dan penginapan ketika berada di Kuala Lumpur agak besar, malah terpaksa meninggalkan kerja satu ke dua hari," katanya.

Sementara itu, Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) Zulkifli Muhamed berkata, pihaknya akan menemui wakil baitulmal berkenaan bagi memudahkan keluarga itu mendapatkan bantuan.

"Hikmah daripada pandemik Covid-19, PCRS dapat mengenali keluarga ini dan mengetahui mengenai penderitaan yang dialami adik Daiyan. PCRS juga membuat kutipan dan menyumbangkan wang tunai kepada keluarga ini," katanya.


MUHAMMAD Eshal Daiyan kehilangan bebola mata kiri akibat kanser. FOTO Azrul Edham

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ksa-dibuang-metrotv

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-12-2024 02:59 AM GMT+8 , Processed in 0.041111 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list