GEORGETOWN: Orang Melayu Pulau Pinang kini perlu memikirkan pendekatan baharu dalam usaha mendepani pelbagai cabaran mendatang pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR), Datuk Dr Muhamad Farid Saad, berkata suka atau tidak Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan di peringkat Pusat, pastinya membawa perubahan dalam kehidupan, sama ada secara langsung atau tidak.
Beliau berkata, situasi itu memerlukan PEMIKIR memahaminya dan bertindak membawa naratif baru kepada orang Melayu Pulau Pinang.
"Kita semua sentiasa memikirkan mengenai masa depan orang Melayu Pulau Pinang, ada yang serius dan berterusan serta ada yang 'sambil lalu'.
"Namun ada juga yang tidak ambil peduli justeru, suka atau tidak, ini adalah kehidupan kita," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Muhamad Farid berkata, orang Melayu Pulau Pinang memerlukan satu visi yang jelas dan mesti boleh dilaksanakan.
Katanya, masyarakat tempatan lebih mengetahui permasalahan setempat dan pihak kerajaan perlu mengambil pandangan rakyat dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.
"Setiap permasalahan rakyat juga perlu ditujukan kepada pihak kerajaan secara terarah bagi perhatian dan penyelesaian.
"Sememangnya kita menghadapi masalah atau krisis yang perlu ditangani. Krisis adalah peristiwa dan pembaharuan adalah suatu proses.
"Jadi, kita perlu mencartakan proses dan melaluinya bagi mendapatkan kejayaan atau sekurang-kurangnya berubah seiring dengan perubahan yang berlaku," katanya.
Muhamad Saad berkata, Malaysia melalui 'systemic change' dan begitu juga Pulau Pinang yang turut mengalami perubahan sistem dalam pelbagai aspek pentadbiran dan kehidupan.
Katanya, setiap usaha memerlukan naratif yang jelas bagi membawa orang Melayu Pulau Pinang menuju ke arah kecemerlangan namun menjadi persoalan sama ada mereka mempunyai naratif masa depan yang jelas.
"Orang Melayu Pulau Pinang tidak akan berasa puas dengan apa yang mereka miliki, ada sahaja yang tidak kena.
"Kepuasan keadilan ditentukan oleh rasa kepuasan atau gembira seseorang itu, berbeza antara satu dengan yang lain," katanya lagi