View: 412|Reply: 0
|
[Terengganu]
Lebih 35 jam tunda bot nelayan Vietnam
[Copy link]
|
|
MOHD Khairulanuar (dua kiri) memeriksa nelayan asing warga Vietnam selepas menahan dua buat bot pada jarak lebih kurang 135 batu nautika dari muara Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Kuala Terengganu: Lebih 35 jam masa diambil untuk menunda dua bot nelayan Vietnam yang ditahan pada jarak kira-kira 135 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, di sini, Isnin lalu.
Kesukaran itu dihadapi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu susulan cuaca buruk dan ombak bergelora.
Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Majid@Razali berkata, kedua-dua bot itu ditahan kapal maritim yang sedang melakukan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat, selepas disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.
"Dua bot bersama 19 tekong dan kru berusia antara 16 hingga 62 tahun itu ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti tunda ganding kira-kira jam 10.15 malam.
"Kami berdepan kesukaran dan mengambil masa lebih 35 jam untuk membawa dua bot itu ke jeti maritim susulan laut bergelora," katanya pada sidang media di pejabat APMM, di sini, hari ini.
Mohd Khairulanuar berkata, bot serta kru dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.
"Hasil tangkapan laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM3 juta turut dirampas," katanya.
Beliau berkata, tahun ini, sebanyak 30 bot warga Vietnam berjaya ditahan membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM45 juta.
Katanya, Maritim Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut negara.
"Kami akan terus menjalankan operasi walaupun ketika musim tengkujuh bagi memastikan perairan negara dan mengekang kehadiran bot asing.
"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... bot-nelayan-vietnam |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|