View: 347|Reply: 0
|
[Terengganu]
21 ekor gajah ditangkap dan dibebaskan
[Copy link]
|
|
Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap dan membebaskan 21 ekor gajah sejak tahun 1999 hingga tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata majoriti gajah yang ditangkap itu dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum, Perak.
Katanya, empat ekor gajah ditangkap dan dipindahkan ke habitat asal pada 1999, tahun 2020 (enam), 2021 (lapan) dan tiga ekor pada tahun ini.
"Kerajaan negeri dan PERHILITAN menggunakan tiga kaedah bagi mengelak masalah ancaman gajah iaitu pemasangan pagar elektrik, tembak dan halau serta tangkap dan pindah.
"Kerajaan dengan kerjasama PERHILITAN sudah memasang sistem pagar elektrik gajah (SPEG) sejauh kira-kira 29.5 kilometer (km) di Kampung Lawit hingga ke Kampung Bukit di daerah Hulu Terengganu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan dilakukan kerajaan negeri dan PERHILITAN mengenai ancaman gajah liar yang berlaku di beberapa kampung di negeri ini.
Beliau berkata, SPEG juga turut dipasang di Kampung Pelong, Setiu membabitkan jarak sejauh kira-kira 35 km dan di Kampung Payong hingga ke Kampung Chalok Barat, Setiu sejauh kira-kira 25 km.
"Kerajaan negeri dengan kerjasama PERHILITAN akan memasang SPEG di empat lokasi baru iaitu di Kampung Ban Hoo dan Kampung Air Putih, Kemaman dan di Kampung Gerdong serta Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)," katanya.
Ketika mengulas tindakan dan kekeliruan pekebun yang bertindak menembak hidupan liar terutama babi dan kera, Dr Azman berkata, pekebun yang menghadapi ancaman hidupan liar daripada spesies kera dan babi dibolehkan menembak haiwan berkenaan jika memiliki lesen senjata api.
Katanya, walaupun kera dan babi antara hidupan liar yang tersenarai sebagai spesies dilindungi bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 176), tetapi akta itu turut membenarkan pemilik kebun atau pekerjanya yang memiliki lesen senjata api mengambil tindakan sekiranya hidupan liar itu mengancam nyawa dan merosakkan harta benda.
"Tetapi, pekebun diminta dan diarahkan melaporkan kepada PERHILITAN selepas mengambil tindakan menembak haiwan liar berkenaan.
"Kita harap dengan penjelasan diberikan, isu kera dan babi yang mengganggu serta boleh mengancam keselamatan orang awam, terutama pekebun tidak boleh ditembak terjawab," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... gkap-dan-dibebaskan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|