|
Pemain Croatia menjalani latihan di Doha, semalam sebagai persiapan menentang Argentina dalam saingan separuh akhir Piala Dunia, esok. - AFP
DOHA: Pasukan Croatia sudah pun menamatkan impian bintang Brazil, Neymar untuk menggapai Piala Dunia, dan kini mereka berharap untuk meranapkan pula impian penyerang utama Argentina, Lionel Messi.
Messi yang kini berusia 35 tahun telah membuat lima penampilan di Piala Dunia sejak edisi 2006 di Jerman menjelaskan dari awal, aksi di Qatar bakal menjadi penampilan terakhirnya.
Croatia yang dibimbing Zlatko Dalic pula dalam motivasi tinggi selepas menunjukkan juara lima kali, Brazil jalan keluar apabila menang menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi suku akhir tempoh hari.
Mengambil iktibar daripada perlawanan tersebut, Croatia tidak bercadang untuk merantai Messi seorang, sebaliknya seluruh pasukan akan ditugaskan mengekang kesemua jentera serangan Albiceleste.
“Kami tidak mempunyai perancangan khusus untuk mengawal Messi sahaja kerana kebiasaannya kami memang tidak memberikan tumpuan untuk menghalang seorang pemain, tetapi lebih kepada seluruh pasukan.
“Ini kerana Argentina bukan hanya ada Messi seorang sahaja, mereka mempunyai ramai pemain hebat dalam pasukan, jadi amat wajar untuk kami menghalang keseluruhan pemain pasukan tersebut,” jelas penyerang Croatia, Bruno Petkovic.
Pertahanan Croatia, Josip Juranovic turut senada dengan rakan sepasukannya itu dengan menegaskan Croatia tidak perlu gentar dengan mana-mana pemain Argentina.
Apatah lagi mereka kini dalam misi untuk memburu final kedua berturut-turut, selepas empat tahun lalu dikecewakan oleh Perancis dalam perlawanan akhir.
“Kami juga ada pemain tengah terbaik iaitu Mateo (Koavic), Luka (Modric) dan Marcelo (Brozovic), mereka merupakan yang terbaik di Croatia dan sukar untuk mencari pengganti mereka.
“Anda tidak perlu risau jika bola dihantar kepada mereka, kerana ia adalah jauh lebih selamat daripada anda menyimpan duit dalam bank,” seloroh Juranovic.
Kelegaan juga buat Dalic apabila kesemua pemainnya bebas daripada sebarang penggantungan dan kecederaan. – Agensi/UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita ... ian-messi-ke-final/ |
|