View: 1371|Reply: 0
|
Kegigihan Cikgu Tadika Yang Setia Turun Naik Tingkat 4 Gendong Suami OKU
[Copy link]
|
|
Ketabahan seorang wanita menjaga suaminya seorang orang kelainan upaya (OKU) mengundang perhatian warganet di media sosial.
Rakaman wanita dikenali sebagai Cikgu June itu dikongsikan seorang aktivis kemanusiaan, Hamsatul Hamzah ketika berkunjung ke kediaman mereka bagi memberikan bantuan.
Menerusi perkongsian di TikTok dan Facebook, kegigihan dan pengorbanan Cikgu June menggendong suaminya Mazlan Othman turun dan naik dari tingkat empat rumah mereka mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.
Rutin tersebut terpaksa dilakukan setiap kali suaminya perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital.
“Memahami kepayahan yang dihadapi oleh seorang isteri yang tabah dan setia, di mana setiap kali adanya rawatan susulan di hospital, dia akan menggendong suaminya yang sakit dari tingkat empat kediaman mereka sehingga ke bawah.
“Tanpa jemu sentiasa berada disamping suami tiap kali adanya janji temu berjumpa dengan doktor,” tulisnya.
Atas rasa penuh tanggungjawab, Hamsatul dengan kerjasama Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban pasangan tersebut.
“Kini, beban itu dapat dikurangkan apabila Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat bersama-sama membantu dia membawa suaminya ke hospital.
“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan Cikgu June sekeluarga dan Allah mengurniakan sebaik-baik kesembuhan buat suami dia,” kata Hamsatul.
Bagaimanapun semakan di media sosial tidak menemui maklumat terperinci tentang masalah kesihatan suami Cikgu June.
Bagaimanapun jika dilihat kepada cara pengendalian, dipercayai suaminya sudah lama terlantar sakit sehingga tidak mampu menguruskan diri.
Pemerhatian mStar mendapati Cikgu June yang merupakan guru tadika itu dilihat sekali sekala berkongsi kisah dan keadaan suaminya menerusi akaun TikTok miliknya.
Rata-rata netizen mendoakan wanita tersebut terus cekal serta tabah dengan ujian selain mengharapkan suaminya diberikan kesembuhan.
Sumber: mStar
|
|
|
|
|
|
|
| |
|