|
Antara jalan utama berdekatan Simpang Empat Salam, di sini, yang ditenggelami banjir. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Rantau Panjang: Paras air terus meningkat menyebabkan hanya kenderaan seperti perahu dan bot boleh melalui laluan utama ke Rantau Panjang, sejak awal pagi tadi.
Tinjauan hari ini mendapati, lori atau trak agensi keselamatan juga sudah tidak dapat digunakan dan mereka sedang berusaha sebaik mungkin untuk mencari inisiatif lain bagi melancarkan urusan misi menyelamat, hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Anwar Abu Bakar berkata, pihaknya bersedia menurunkan semua bot yang ada untuk mengharungi jalan yang ditenggelami air.
Katanya, JBPM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) bergabung tenaga dalam operasi banjir kali ini.
"Kami akan berusaha sebaiknya membantu mangsa banjir. Bagaimanapun, semua pihak diharap bersabar dan bijak mengambil langkah terbaik untuk memastikan keselamatan diri terjaga.
"Penduduk yang mempunyai bot atau sampan peribadi juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak keluar jika tiada sebarang urusan memandangkan ada beberapa kawasan dengan arus yang agak deras.
"Untuk hari ini kita memfokuskan misi menyelamat terutama di kawasan kritikal selain mengutamakan kes kecemasan," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Balai terbabit juga turut digenangi air sejak semalam, namun ia tidak mematahkan semangat anggota bomba bertugas demi tanggungjawab kepada masyarakat.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... u-panjang-terkepung |
|