|
Kelihatan bahagian yang menempatkan bekalan telur ayam yang kosong di sebuah pasaraya di Batu 3, Jalan Gambang, Kuantan. FOTO AINAL MARHATON ABD GHANI
Kuantan: Bekalan telur ayam yang masih lagi tidak menentu merunsingkan orang ramai.
Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Sungai Lembing, Indera Mahkota, Kota SAS, Balok, Sungai Soi dan Batu 6 di sini, mendapati bekalan telur ayam terutama 30 biji untuk satu papan masih sukar diperoleh.
Kebanyakan pasar raya menjual telur ayam jenis Omega 30 biji satu papan pada harga antara RM17.90 hingga RM20, manakala saiz telur, A, B, C dan D, dijual 10 biji untuk satu bekas.
Peniaga, Mohd Sukhri Mat Yaki,38, berkata, masalah bekalan telur itu masih berlaku.
"Pengguna terutama peniaga kecil seperti kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan, malah terpaksa mencari dari kedai ke kedai untuk mendapatkannya," katanya ketika ditemui di Balok dekat sini, hari ini.
Suri rumah, Siti Noor Hasmah Tahir, 40, berkata, penduduk berdepan kesukaran mendapatkan bekalan telur sejak tiga bulan lalu.
Katanya, ada peniaga kedai runcit hanya menjual 10 biji sahaja kepada setiap pelanggan.
"Memang susah untuk mendapatkan kuantiti telur 30 biji satu papan di sini," katanya yang menetap di Sungai Lembing.
Peniaga kedai runcit Pasar Besar Kuantan, G Padmi, 64, pula berkata, dia memperoleh jumlah bekalan yang semakin berkurangan daripada pembekal.
"Turun sahaja daripada lori, pembeli sudah tunggu. Dalam tempoh satu atau dua jam, telur sudah habis terjual.
"Pembekal pula hanya datang dua kali seminggu dan bekalan telur diagihkan berdasarkan permintaan peniaga. Memang tidak mencukupi," katanya yang sudah berniaga hampir 40 tahun lalu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... masih-tidak-menentu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|