View: 294|Reply: 0
|
[Kelantan]
Air tiada, penduduk sukar basuh rumah berlumpur
[Copy link]
|
|
SHAARI Che Noh membawa keluar barangan yang rosak selepas rumahnya ditenggelami banjir di Kampung Serongga, Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
PASIR MAS: Kira-kira 140 buah keluarga di Kampung Serongga di sini, berdepan kesukaran membasuh rumah mereka yang dipenuhi lumpur akibat banjir apabila bekalan air bersih terputus sejak seminggu lalu.
Keadaan itu menyebabkan usaha mereka membersihkan rumah masing-masing yang ditenggelami air setinggi satu meter ketika banjir, tergendala.
Che Rohana Ismail, 55, berkata, meskipun banjir surut, dia dan keluarganya tidak dapat berbuat apa-apa kerana masalah tersebut.
“Rumah kami kotor dipenuhi lumpur dan tidak dapat membuat sebarang kerja-kerja pembersihan. Kami sebenarnya menggunakan telaga tiub untuk kegunaan harian.
“Disebabkan banjir, pam air telaga tiub rosak ditenggelami banjir. Paip kerajaan pula memang tiada air,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Che Rohana memberitahu, banjir kali ini menyebabkan semua kelengkapan rumahnya rosak termasuk katil, tilam, peti sejuk, mesin basuh dan televisyen.
Katanya, kerosakan kesemua barangan itu mengakibatkannya terpaksa menanggung kerugian lebih RM20,000 apabila rumahnya tenggelam sehingga paras bumbung.
Seorang lagi penduduk Kampung Serongga, Pa’ Adek Abdullah, 55, berkata, dia terpaksa membeli pam air baharu yang dianggarkan bernilai RM500 seunit untuk mengalirkan air dari telaga tiub yang dibina bersebelahan rumahnya.
Dia yang baru pulang dari pusat pemindahan sementara kelmarin berkata, jika tiada pam air itu tidak dapat menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumahnya yang terjejas banjir.
“Banyak harta benda kami sekeluarga rosak. Semuanya perlukan wang untuk dibeli dan diganti terutama pam air ini.
“Ada penduduk yang cuba membaiki pam air yang rosak kerana tidak mampu membeli baharu. Mahu atau tidak, kami memang memerlukan pam air untuk membersihkan rumah dengan kadar segera,” ujarnya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... uh-rumah-berlumpur/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|