|
ANGGOTA bomba mengangkat mayat Mohamad Burhan di tebing Sungai Karang, Pontian. FOTO Togi Marzuki.
Pontian :"Bapa maklumkan dia nak ke kebun, tetapi dijumpai lemas dalam sungai," kata Ridhwan Mohamad, 35, anak sulung Mohamad Burhan, 71, yang ditemui lemas di Sungai Karang, Mukim Sungai Karang, petang tadi.
Katanya, bapanya keluar pada jam 8 pagi semalam dan memaklumkan untuk bekerja di kebunnya.
"Lokasi kebun dari sungai berkenaan agak jauh dengan jarak kira- kira 3 kilometer di mana mayatnya dijumpai di sungai berkenaan.
"Saya mengikuti operasi pencarian bersama anggota bomba hingga ke sungai itu dan menjumpai kesan tapak kaki.
Katanya, bapanya ditemui tertiarap lima meter dari tebing itu yang berhampiran pencawang elektrik.
Ridhwan yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, setiap hari bapanya ke kebun untuk bertanam pelbagai sayuran.
"Kebiasaan bapa ke kebun tidak memakai kasut, hanya berkaki ayam.Dia mungkin ke sungai untuk membasuh muka atau mandi, " katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Mahadir Mamat, berkata pihaknya memulakan pencarian pada jam 6.50 petang semalam selepas menerima panggilan kecemasan.
Katanya, pihaknya menggunakan tiga jentera bersama sembilan anggota ke lokasi kejadian.
"Hasil pencarian yang dibantu penduduk kampung, mangsa warga emas yang berusia 71 tahun berjaya dijumpai terapung kira-kira lima meter dari tebing Sungai Karang.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pontian untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan kejadian itu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -emas-ditemui-lemas |
|