View: 324|Reply: 0
|
[Terengganu]
Tengok kaki hancur sebelum tidak sedarkan diri
[Copy link]
|
|
Marang: "Selepas terpelanting saya sempat tengok kaki kanan hancur sebelum tidak sedarkan diri," kata Khairul Ridzuan Mohd Nawi, 36, mangsa letupan tayar traktor di sebuah ladang sawit di Setiu, pada Ogos 2021.
Khairul Ridzuan berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mengisi angin tayar traktor yang dipandunya sebelum memulakan tugas memunggah sawit di ladang berkenaan.
Dia yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai pemandu jentera berat berkata, kejadian berlaku ketika dia baharu lebih sebulan bekerja di ladang berkenaan.
Anak ke dua daripada lapan beradik itu berkata, kejadian itu menyebabkan kehidupannya berubah seratus peratus apabila kaki yang mengalami kecederaan teruk terpaksa dipotong.
"Saya reda dengan apa yang berlaku tetapi tidak menafikan perasaan sedih apabila hilang sebelah kaki sekali gus menjadikan saya orang kurang upaya (OKU).
"Kini sudah lebih setahun saya berkeadaan begini dan bergerak hanya dengan bantuan kerusi roda.
"Memang sukar untuk saya jalani kehidupan daripada normal kepada OKU tetapi semangat diberikan bapa, Mohd Nawi Awang Noh, 59, menjadikan saya tabah untuk menempuh dugaan ini dan percaya satu hari nanti saya mampu jalani kehidupan seperti orang normal walaupun hanya memiliki sebelah kaki.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Perkeso yang banyak membantu mengembalikan kecergasan menerusi latihan senaman di pusat rehabilitasi dan bantuan faedah disediakan sekali gus dapat meringankan beban bapa yang hanya bekerja sebagai pekebun," katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Serating, Merchang, di sini, semalam.
Mengimbau kembali kejadian itu, Khairul Ridzuan berkata, sebelum memulakan tugas memunggah kelapa sawit, dia ke kawasan bengkel dalam ladang berkenaan untuk mengisi angin tayar jentera berat berkenaan.
Menurutnya, apabila angin dalam tayar penuh, pam akan mengeluarkan bunyi, bagaimanapun suasana bising di persekitaran bengkel dengan pekerja masing-masing melakukan tugas menyebabkan dia tidak mendengar bunyi isyarat berkenaan.
"Tayar berkenaan juga sudah rosak dan terdapat kesan terbelah menyebabkan ia meletup apabila angin berlebihan. Silap saya juga kerana tidak memeriksa keadaan tayar sebelum mengepam.
"Letupan menyebabkan saya terpelanting sehingga dua meter. Sebelum tidak sedarkan diri, saya tengok kaki saya hancur. Tetapi saya tidak rasa apa-apa, mungkin kerana terlalu sakit menyebabkan saya tidak rasa kesakitan itu.
"Rakan kerja di bengkel kemudian membawa saya ke Hospital Setiu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan kaki saya dipotong atas persetujuan bapa ketika koma.
"Saya sedar selepas lebih 10 hari koma dan berasa masa depan gelap apabila menyedari kaki kanan tiada.
"Selain kaki, kejadian itu juga mengakibatkan berlaku gegaran dan pendarahan beku dalam kepala selain patah tangan kiri, tulang bahu kanan dan tulang punggung kanan," katanya.
Sementara itu, Mohd Nawi yang berstatus bapa tunggal selepas kematian isteri berkata, selepas kejadian itu, dia akan memandikan, menukar lampin pakai buang dan menyediakan sarapan pagi untuk anaknya sebelum keluar bekerja jam 8 pagi.
"Saya akan balik ke rumah pada tengah hari. Sebenarnya memang tak sampai hati tinggalkan dia sendirian di rumah kerana bimbang kejadian atau bencana tidak diduga berlaku.
"Tetapi saya terpaksa keluar bekerja untuk perbelanjaan harian kami," katanya.
MOHD Nawi menunjukkan kaki kanan anaknya Khairul Ridzuan yang terpaksa dipotong selepas hancur akibat tayar traktor. FOTO Zaid Salim
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... darkan-diri-metrotv |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|