View: 363|Reply: 0
|
[Johor]
5 keluarga tinggal sehelai sepinggang
[Copy link]
|
|
RUMAH lima keluarga musnah dalam kebakaran di Kampung Pemuda Jaya di Jalan Seelong-Senai, Kulai. FOTO Ihsan JBPM
Kulai: Lima keluarga membabitkan 17 individu tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang dihuni di Kampung Pemuda Jaya, Jalan Seelong-Senai di sini musnah dalam kebakaran pada awal pagi hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.55 awal pagi.
Katanya, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Fire Response Vehicle (FRV), sebuah lori tangki air dan dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai dan BBP Kulai dengan kekuatan seramai 17 anggota ke tempat kejadian.
Menurutnya, operasi diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Muhamad Fauzi Awang.
"Bangunan berkenaan adalah jenis struktur separuh kekal yang dijadikan sebagai rumah oleh beberapa keluarga terbakar kira-kira 80 peratus.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, semua mangsa berjaya menyelamatkan diri. Operasi ditamatkan pada 6.27 pagi serta punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya menerusi siaran media hari ini.
Ketua Kampung Baru Sri Aman, Tukimin Aziz berkata, lokasi kejadian adalah bekas bangunan pejabat pada 1970-an yang lama sudah dikosongkan.
"Mangsa adalah golongan berpendapatan rendah yang berhijrah ke sini untuk mencari rezeki.
"Malangnya kejadian mengakibatkan mereka tinggal sehelai sepinggang termasuk kehilangan harta benda serta tempat tinggal.
"Buat masa ini semua mangsa kebakaran ditempatkan di Surau Kampung Pemuda Jaya dan kami sedang mengusahakan bantuan sesuai," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, seorang mangsa, Junita Mohamad, 25, berkata jeritan jiran mampu menyelamatkan kesemua penghuni yang ketika itu sedang nyenyak tidur.
Menurutnya, dia yang tinggal menyewa tidak menjangka ditimpa musibah pada awal tahun.
"Saya dan ahli keluarga bergegas keluar menyelamatkan diri kerana kebakaran marak keseluruhan bangunan dengan pantas iaitu kurang 10 minit," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -sehelai-sepinggang |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|