|
Muhammad Shahrul (kanan) ketika menerima kunjungan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Fazli Rizal Ismail (tengah) di rumahnya di Kampung Gong Kala, Pasir Puteh.- Foto NSTP/Nor Amalina Alias
PASIR PUTEH: Remaja yang kudung kaki akibat dihempap besi, teruja apabila dia berkemungkinan boleh menjalani kehidupan normal selepas menerima kaki palsu.
Muhammad Shahrul Rizal Mohd Azizi, 13 hilang kaki sebelah kiri hingga paras lutut selepas dia dihempap besi dalam kemalangan yang turut meragut nyawa ibunya,Yusni Hamid, 33, pada 14 Julai tahun lalu.
Datuk kepada Shahrul, Abdul Hamid Mohd Ali, 60 berkata, mereka ada menerima tawaran daripada beberapa pihak yang sudi untuk menyumbang kaki palsu buat cucunya.
Bagaimanapun, katanya buat masa ini, cucunya belum boleh menggunakan kaki palsu kerana keadaan kakinya yang masih lemah selepas menjalani tujuh kali pembedahan.
"Dia ada menunjukkan perubahan, daripada dulu terpaksa pakai lampin pakai buang, kena kendong sekarang dia dah boleh mengengsot untuk ke mana-mana.
"Cuma dia masih perlukan perhatian rapi untuk buang air dan sebagainya," katanya ketika ditemui menerima lawatan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) di kediamannya di Kampung Gong Kala, di sini hari ini.
MARA menyampaikan sumbangan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) berbentuk wang tunai dan barangan persekolahan kepada kanak-kanak itu yang disampaikan, Pengarah MARA Negeri Kelantan, Fazli Rizal Ismail.
Abdul Hamid berkata, Shahrul kini semakin pulih dan setiap bulan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dengan bantuan ibu bapa saudara.
Katanya, keluarga juga masih menjaga pemakanan kanak-kanak itu bagi memastikan dirinya pulih lebih cepat.
"Dari segi emosi, dia dah boleh terima keadaan diri dia (hilang kaki), cuma dia kerap sebut nak pergi ke sekolah bila tengok kawan-kawan pergi sekolah," kata Abdul Hamid yang turut menjaga dua lagi adik Shahrul iaitu Muhammad Asraf, 12 dan Muhammad Fakrul Hisham, 7.
Sementara itu, Shahrul berkata, dia berharap dapat bersekolah tahun ini selepas melalui detik hitam dengan ditidurkan selama dua minggu dan terlantar di hospital selama lebih sebulan.
Katanya, apa yang paling dia rindui adalah kembali ke sekolah dan bersama rakan-rakan.
"Saya tahu ma (Yusni) takdok (meninggal dunia) selepas 40 hari kejadian berlaku.
"Masa kemalangan tu, saya masih ingat ada lori menuju ke arah kami tapi tak sempat buat apa-apa, masa kaki putus pun saya sedar lagi sebelum dibawa masuk ambulans," katanya mengimbau kejadian ngeri itu.
Fazli Rizal pula memberitahu, sumbangan itu diberikan YPM yang menerima sumbangan syarikat dan individu bagi program khidmat sosial kepada pelajar miskin.
Katanya, pihaknya menggalakkan syarikat atau individu menyumbang kepada YPM untuk membantu semula pelajar yang memerlukan.
"Kita juga ada sediakan Unit Kaunseling untuk kejadian yang menyebabkan trauma, CSR (tanggungjawab sosial korporat) ini dilaksanakan sepanjang masa," katanya.
Pada 14 Julai lalu, Shahrul hilang kaki kiri manakala ibunya maut di tempat kejadian selepas mereka terbabit kemalangan dengan treler muatan besi membabitkan lapan kenderaan dan 21 penunggang basikal di Jalan Kamunting, kira-kira 10 kilometer daripada rumah mereka.
https://www.bharian.com.my/berit ... a-tunggu-kaki-palsu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|