|
FAIZAL (gambar kecil) dikhuatiri lemas di Sungai Pahang. FOTO Ihsan Keluarga.
Bera: "Dia anak yang periang, tidak pernah bawa masalah kepada keluarga," kata Mohd Fauzi Mohamed Jidin, 52, menceritakan perihal anaknya, Faizal Akmal Fikri, 19, yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang.
Remaja itu hilang selepas dikatakan mandi sungai berkenaan dekat Kampung Batu Bor, Chenor di sini, kira-kira 4 petang semalam.
Menurut Mohd Fauzi, dia tidak mengetahui anaknya mandi di sungai itu sebaliknya mengetahui kejadian selepas dimaklum mengenai penemuan barang milik Faizal di tebing.
Katanya, Faizal yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik juga ringan tulang dan selalu membantu orang memerlukan.
"Saya harap sangat anak saya dapat dijumpai secepat mungkin. Itu sahaja harapan saya sebagai seorang bapa," katanya yang tinggal di Kampung Bukit Lada Awah, Temerloh.
Kakak Faizal, Farah Norain, 22, berkata, ayahnya kelihatan sukar menerima kehilangan adik, malah menangis apabila memasuki bilik anak bongsu itu malam tadi.
"Walaupun abah jarang berbual mesra dengan adik, namun sebagai bapa sudah pasti dia terasa kehilangan ini.
"Saya paling rapat dengan adik dan kali terakhir dia telefon saya 5 Januari lalu dan beritahu teringin nak makan masakan saya, tapi saya tak dapat tunaikan hajatnya kerana bekerja di Kuantan.
"Saya sedih bila teringatkan hal itu, dia pula suka makan ayam masak kari dan ayam goreng pedas," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Zon II Pahang, Mohd Sobree Mohamed Salleh berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa hari ini menumpu kepada kawasan dalam lingkungan radius 10 kilometer dari lokasi hilang.
Operasi membabitkan 54 anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) selain penduduk kampung dan sukarelawan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-saya-sebagai-bapa |
|