|
Kuantan: Pokok tumbang akibat ribut di Kampung Balok Baru di sini, semalam bukan hanya mengorbankan remaja perempuan, bahkan mencederakan seorang lagi kanak-kanak.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, Iftikhar Medina Zamarul Nizar Zailani, 6, patah tangan kanan dipercayai terkena kabel elektrik yang jatuh selepas dihempap pokok tumbang.
Terdahulu, Aliya Zahra Mohamad Hasnizam, 14, meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.
Bapa Iftikhar Medina, Zamarul Nizar Zailani, 29, berkata, dia terkejut apabila jirannya datang ke rumah sambil mendukung anaknya yang cedera.
"Sebelum kejadian, anak bongsu saya (Iftikhar Medina) sudah pulang, jadi saya ingat dia ada di dalam rumah... tidak tahu pula dia keluar semula selepas itu," katanya.
Menurutnya, anaknya masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu.
"Saya bersyukur dia hanya cedera, namun simpati dengan jiran yang kehilangan anak tersayang," katanya.
Tinjauan di lokasi kejadian yang berdekatan taman permainan mendapati pokok sebesar dua pemeluk orang dewasa itu sudah dipotong, manakala kenderaan yang dihempap pokok sama juga berada di lokasi.
Sementara itu, penduduk, Zainal Abidin Sulaiman, 57, mendakwa sudah beberapa kali penduduk kampung memohon pihak berkuasa tempatan supaya menebang pokok itu yang dianggarkan berusia lebih 30 tahun.
"Tetapi pihak berkuasa hanya melakukan kerja-kerja mencantas dahan dan seingat saya kali terakhir ia dibuat sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya.
Seorang penduduk, Zainal Abidin Sulaiman, 57, melihat keadaan pokok tumbang di Kampung Balok Baru, Kuantan. FOTO KHAIRULMIZAN YAHYA
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... kok-tumbang-metrotv |
|