View: 502|Reply: 0
|
[Terengganu]
Tukang jahit tutup tempahan baju Aidilfitri
[Copy link]
|
|
MAZLILAH Ngah menyiapkan tempahan jahitan pakaian pelanggannya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
7 Februari 2023, 7:30 am
KUALA TERENGGANU: Walaupun sambutan Aidilfitri bakal disambut tiga bulan lagi, kebanyakan tukang jahit di Terengganu sudah berhenti mengambil tempahan jahitan pakaian sejak awal Januari lalu.
Beberapa tukang jahit yang ditemui Utusan Malaysia mengakui, mereka tidak mahu berdepan risiko mengambil tempahan terlalu banyak kerana risau tidak dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.
Seorang tukang jahit dari Kampung Pasir Panjang di sini, Mazlilah Ngah, 46, berkata, dia mula berhenti mengambil tempahan pada 30 Disember tahun lalu setelah menerima 300 pasang kain untuk perayaan kali ini.
“Saya dibantu dua pekerja untuk menyiapkan semua tempahan ini dan tidak berani lagi mengambil tempahan baharu kerana tempahan sedia ada sudah terlalu banyak.
“Saya lebih mementingkan kualiti dan kepuasan pelanggan untuk menghasilkan jahitan yang kemas serta cantik agar mereka dapat menggayakan pakaian hari raya seperti yang diidamkan.
“Kebanyakan yang menempah juga adalah pelanggan setia dan mereka sudah faham tempahan Aidilfitri, perlu dihantar lima atau enam bulan lebih awal agar saya dapat menyiapkannya mengikut tarikh yang dijanjikan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mazlilah yang mula menjahit sejak 20 tahun lalu memberitahu, antara tempahan jahitan yang banyak diterimanya pada tahun ini ialah baju kurung moden, baju sulam biku-biku, baju kurung Riau, baju kurung Pahang, kebaya, kurta dan baju Melayu tradisional.
Seorang lagi tukang jahit, Kasmawati Zainalabidin, 38 pula berkata, dia terpaksa mengehadkan pengambilan tempahan kerana tidak mahu terkejar-kejar masa untuk menyiapkannya dalam masa yang singkat.
“Lagipun saya dah rasa serik kerana pernah beberapa tahun lalu, dimarahi pelanggan kerana lambat menyiapkan baju tempahan mereka.
“Jadi untuk langkah selamat, lebih baik hadkan sehingga 250 pasang kerana itu sahaja kemampuan saya walaupun ada pekerja sambilan yang terdiri daripada penduduk kampung sekitar.
“Kasihan juga kepada pelanggan yang merayu-rayu kerana mereka sudah membeli kain sedondon dengan keluarga terutamanya golongan wanita yang ingin berbaju kurung sama corak dan warna dengan anak-anak perempuan mereka.
“Saya akan tolak dengan elok, namun ada juga yang tidak kisah jika ia lambat siap asalkan masih dalam bulan Syawal kerana mahu digayakan ketika datang ke rumah terbuka yang diadakan sepanjang bulan tersebut,” katanya yang mengambil upah RM50 untuk sepasang kurung moden dan caj tambahan mengikut permintaan pelanggan. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... an-baju-aidilfitri/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|