View: 373|Reply: 0
|
[Terengganu]
Maritim Malaysia rampas 2,050 karton rokok seludup RM250,000
[Copy link]
|
|
KUALA TERENGGANU: Sindiket penyeludupan rokok dipercayai mengubah taktik yang biasa dilakukan apabila menjadikan jalan laut bagi membawa masuk pelbagai jenis rokok tidak sah ke negeri ini.
Aktiviti penyeludupan menerusi jalan laut itu dipercayai dilakukan selepas menyedari laluan darat dikatakan tidak lagi selamat susulan kawalan ketat dilakukan pihak berkuasa terutama di semua pintu masuk sempadan negeri ini.
Bagaimanapun, operasi berterusan dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan negeri ini berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan menerusi jalan laut susulan rampasan 41 kotak besar berisi 2,050 kartun rokok putih bernilai RM250,000 pada jam 3 pagi tadi.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid, berkata rampasan membabitkan 410,000 batang rokok putih itu dibuat menerusi operasi khas, Ops Serop (seludup rokok putih) di sepanjang perairan Terengganu/Kelantan sejak beberapa hari lalu.
Beliau berkata, bot peronda Maritim Malaysia, Perkasa 48 yang melakukan rondaan dan pemantauan berjaya mengesan kehadiran mencurigakan sebuah bot gentian kaca di perairan muara Kuala Besut.
"Menyedari kehadiran bot peronda, suspek menukar laluan dengan melalui kawasan cetek bagi meloloskan diri.
"Suspek berjaya melarikan diri dan pemeriksaan di kawasan darat dilakukan sebelum menemui sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
"Pemeriksaan dalam lori berkenaan menemukan 41 kotak besar dibungkus dengan plastik biru yang setiap satu mengandungi 50 kartun rokok putih dianggarkan bernilai RM250,000," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Mohd Khairulanuar berkata, pihaknya percaya sindiket mendapatkan rokok berkenaan daripada kapal induk yang berlabuh di perairan negara jiran sebelum menyeludup masuk untuk pasaran di negeri ini.
Katanya, berdasarkan risikan, pihaknya percaya terdapat lebih 20 pangkalan haram dijadikan laluan masuk sindiket terbabit wujud di sepanjang perairan Kuala Besut.
Beliau berkata, semua rokok berkenaan dirampas dan siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
"Sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Katanya, Maritim Terengganu akan terus meningkatkan operasi bagi memburu suspek terbabit.
Beliau berkata, kawalan di sempadan perairan negara akan dipertingkatkan bagi menangani segala bentuk jenayah termasuk pencerobohan nelayan Vietnam.
"Sebarang perlanggaran undang-undang, aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan lain-lain kegiatan jenayah dalam Zon Maritim Malaysia, orang ramai boleh melaporkannya kepada Pusat Operasi Maritim Terengganu di talian 09-6224357 atau MERS 999," katanya.
Mohd Khairulanuar (dua kanan) memeriksa rampasan kira-kira 410,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai hampir RM250,000 dalam Ops Khas di Muara Kuala Besut. NSTP/GHAZALI KORI
https://www.bharian.com.my/berit ... ok-seludup-rm250000 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|