View: 326|Reply: 0
|
[Johor]
Menyamar TMJ di IG minta bayaran untuk perniagaan
[Copy link]
|
|
Johor Bahru: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang disyaki menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk meminta sejumlah bayaran menerusi media sosial.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat Media Istana Johor pada 2.35 petang hari ini.
Ia berhubung satu tangkap layar yang menunjukkan mesej pihak tidak bertanggungjawab menggunakan akaun Instagram memaparkan nama akaun Instagram Tunku Ismail, 'hrhcrownprinceofjohor'.
"Mesej berkenaan didakwa sudah dihantar ke beberapa pihak untuk meminta sejumlah bayaran bagi urusan perniagaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal dijalankan mendapati, suspek menyamar sebagai TMJ dengan mengubahsuai tangkap layar berkenaan untuk berkomunikasi dengan mangsa.
"Suspek mengubah dan menggunakan gambar profil serta akaun Instagram TMJ supaya mangsa percaya mereka sedang berkomunikasi dengan Tunku Ismail," katanya.
Kumar berkata, setakat ini sebanyak lapan syarikat ada menerima mesej berkenaan dan ada yang terpedaya serta sudah memasukkan sejumlah wang ke akaun seperti diarahkan oleh pihak terbabit kononnya untuk mendapatkan projek yang ditawarkan.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana melakukan penyamaran dan Seksyen 420 kanun sama kerana menipu.
Pada masa sama, Kumar menyeru mana-mana pihak yang menjadi mangsa untuk melaporkan kepada pihak polis supaya siasatan secara menyeluruh dapat dijalankan.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dan hendaklah membuat semakan terlebih dahulu mengenai maklumat di media sosial sebelum menjalankan sebarang urusan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-untuk-perniagaan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|