|
Sebahagian daripada peserta antarabangsa berpakaian tradisional bergambar dengan layang-layang tradisi dan moden menunjukkan sijil MBOR pada FLLSPG 2023 di Pasir Gudang kelmarin.
JOHOR BAHRU – Penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2023 (FLLSPG 2023) kali ke-25 di Bukit Layang-Layang, Taman Bandar Pasir Gudang di sini telah berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR), pada Sabtu lalu.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Dato’ A. Rahim Nin berkongsi, realistik penganjuran kali ini kerana bertepatan dengan sambutan Jubli Perak FLLSPG sejak penganjurannya yang pertama iaitu pada tahun 1995.
“Sebenarnya pada tahun 2020, kita telah merancang untuk mengadakan FLLSPG, namun kerana dunia dilanda pandemik Covid-19, acara ini terpaksa ditangguhkan.
“Jadi tahun ini, setelah tiga tahun ‘berehat’, FLLSPG tampil dengan acara yang gemilang sempena sambutan Jubli Perak dengan acara simbolik yang melibatkan seramai 25 peserta antarabangsa menaikkan 25 wau tradisional sambil memakai busana tradisi negara kita secara serentak,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Layang-layang moden dan tradisi mewarnai langit biru di Pasir Gudang.
Bertemakan Layangkasa Dinamik, FLLSPG 2023 disertai seramai 716 peserta tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai negara antaranya Brunei, Kemboja, Indonesia, Austria, Republic Czech, New Zealand serta beberapa negara baharu seperti Tahiti dan Kepulauan Isle of Man.
A. Rahim berkata, festival ini merupakan anjuran bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Persatuan Pelayang Johor (PPJ) dan Majlis Pelayang Malaysia (MPM) dengan kerjasama Tourism Johor, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor (JKNNJ) serta Persatuan Pelancongan Pasir Gudang.
Ujarnya, kebanyakan peserta antarabangsa yang menyertai FLLSPG membawa layang-layang tradisi serta moden dari negara masing-masing.
Ada juga peserta antarabangsa ini yang tidak mempunyai pengetahuan atau pengalaman berkaitan wau tradisional Malaysia.
“Justeru, ini merupakan salah satu pendedahan kepada mereka bagaimana untuk mengenali budaya Malaysia melalui pemakaian pakaian tradisional di samping menimba pengalaman unik dalam mengendalikan wau tradisi negara kita.
“Rata-rata mereka teruja dan gembira dengan budaya yang kita ada dan dapat merasai satu pengalaman baharu,” katanya.
Peserta luar negara menaikkan layang-layang dan wau tradisional.
Sementara itu, Perunding Kanan Rekod MBR, Edwin Yeoh berkata, pencapaian itu adalah sesuatu yang luar biasa kerana untuk mengumpulkan peserta dari luar negara dan memakai busana tradisional Malaysia sekali gus menaikkan wau secara serentak tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Untuk rekod ini, kita ambil kira daripada penyertaan peserta antarabangsa, kalau program biasa sebelum ini, yang menaikkan wau adalah orang tempatan, untuk peserta dari luar negara belum ada.
“Pengalaman berharga untuk mereka apabila dapat menaikkan wau tradisional siap memakai baju tradisi kita, untuk kumpulkan mereka bukan mudah, ini merupakan kali pertama julung kali diadakan dan atas sebab itu kita iktiraf dalam MBOR,” katanya.
FLLSPG 2023 membuka tirai penganjuran pada 22 Februari dan majlis perasmiannya telah disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merupakan acara kemuncak penganjuran festival pada kali ini selain diiringi dengan kemeriahan layang-layang berlampu serta percikan bunga api di ruang udara Pasir Gudang. -KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/02 ... ia-book-of-records/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|