View: 376|Reply: 0
|
[Kelantan]
Syukur, tiada gusar lagi Ramadan ini...
[Copy link]
|
|
Mahamad (kanan) menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada Hassan bagi menyelesaikan tunggakan bekalan elektrik rumahnya di Kampung Permatang Pusu, Melor. FOTO IHSAN MAIK
Kota Bharu: "Setiap kali menjelang Ramadan sebelum ini, memang saya risau memikirkan ada atau tidak juadah untuk kami lapan beranak... Alhamdulillah, tahun ini kami tidak lagi perlu catu makanan," kata asnaf dari Kampung Permatang Pusu, Melor, Khadijah Omar.
Khadijah, 61, berkata mereka dikunjungi Pegawai Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Mahamad Azmi Zakaria, semalam yang membawa khabar gembira bahawa mereka bakal menerima bantuan bulanan sebanyak RM400.
Menurutnya, Maik turut menyerahkan sumbangan wang tunai untuk menyelesaikan tunggakan bil elektrik kediaman mereka yang mencecah RM1,500.
"Rasa syukur sangat kerana beban kami sudah hilang dan kebimbangan bekalan elektrik akan dipotong tidak lagi menghantui.
"Bantuan bulanan yang akan diterima akan dimanfaatkan sebaiknya terutama di bulan puasa kerana sebelum ini kami berbuka puasa dan bersahur dengan apa yang ada sahaja.
"Paling merisaukan jika beras hanya tinggal segenggam kerana jika tiada lauk sekalipun kami masih boleh ikhtiar sama ada makan telur asin atau nasi berkuah budu sahaja, tapi Ramadan kali ini kami tidak perlu gusar lagi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Kesusahan hidup Khadijah sekeluarga pernah dipaparkan sebelum ini dan mendapat perhatian warganet yang bersimpati dengan nasibnya yang menetap bersama suami yang uzur serta enam anak.
Enam daripada tujuh anaknya berusia 19 hingga 40 tahun mengalami masalah pembelajaran serta lembam dan tidak bekerja menyebabkan mereka hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima suami Khadijah, Hassan Yaakob, 78, sebanyak RM500 sebulan sahaja untuk kelangsungan hidup.
Khadijah berkata, mereka juga kerap menerima bantuan makanan daripada individu yang baik hati dan jiran tetangga yang turut mengambil berat.
"Meskipun perlu dicatu, setakat ini kami masih lagi ada makanan walau hanya makan biskut kering, tapi itu pun rezeki juga," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ar-lagi-ramadan-ini |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|