|
S Hariprasat dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pemandu bas. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Kulai: Dua lelaki yang tular di media sosial kerana berlagak samseng menahan sebuah bas henti-henti bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap pemandu bas berkenaan.
Tertuduh, S Hariprasat, 32, dan M Kali, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan ugutan jenayah dengan tujuan hendak mendatangkan cedera dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada Zaihan Zainon, 32.
Kejadian itu didakwa dilakukan di tepi jalan Batu 21, Kulai Besar di sini, kira-kira jam 8.15 pagi, 24 Februari lalu.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Dzulkhairi Saat menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh, namun dibantah peguam Amarpreet Singh yang mewakili Hariprasat.
Beliau berkata, anak guamnya yang juga seorang pemandu lori perlu menanggung isteri dan ibu bapa, manakala Kali yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak diwakili peguam memberitahu dia sakit jantung.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 3 April depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu tular di media sosial satu rakaman video berdurasi seminit memaparkan sebuah kereta mewah menahan bas henti-henti di Jalan Batu 21, Kulai Besar di sini, 24 Februari lalu.
Susulan insiden itu, polis menahan dua lelaki yang kereta BMW warna hitam itu ditahan kira-kira jam 9 pagi hari sama di sekitar daerah ini susulan laporan dibuat pemandu bas terbabit.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ah-ugut-pemandu-bas |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|