|
DETIK cemas pegawai JKM terperangkap dalam banjir di ladang kelapa sawit. FOTO tular
Batu Pahat: "Kebiasaannya kami membantu mangsa namun pada kali ini kami sendiri berdepan dengan detik mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki hampir tenggelam," kata pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat, Siti Nadiah Mardi, 36.
Menceritakan pengalaman yang ditempuhi pada 12 tengah hari hari ini, Siti Nadiah berkata, ketika kejadian kereta dinaiki itu berada di kebun kelapa sawit di Kampung Haji Kamisan berhampiran pusat pemindahan sementara (PPS) Parit Haji Kamisan di Yong Peng.
Menurutnya, ketika merentasi kawasan itu menuju ke PPS berkenaan, air banjir semakin deras hingga Ford Everest hanyut ke tepi.
Katanya, pada awalnya air banjir hanya pada paras sederhana namun ia semakin tinggi hingga kepada paras berbahaya iaitu melebihi satu meter.
"Lebih sejam kami berdepan situasi getir dan saya tidak tahu boleh hidup lagi atau tidak.
"Air menghampiri bumbung kereta dan ketika itu kami sudah bersiap sedia berpaut pada pokok kelapa sawit.
"Kami menghubungi pelbagai agensi dan rakan supaya membantu sebelum keadaan bertambah buruk," katanya.
Siti Nadiah berkata, ketika kejadian dia bersama rakan sekerja, Herlinda Abd Majid, 42, dan pemandu kereta berusia 46 tahun.
"Selepas sejam, kami mendengar bunyi bot dan ketika itu kami menjerit meminta bantuan.
"Hanya tuhan saja mengetahui perasaan kami ketika itu, Alhamdulillah bot itu menuju ke arah kami dan difahamkan mereka menerima maklumat dan segera ke lokasi bagi menyelamatkan kami," katanya.
Siti Nadiah berkata, dalam kejadian berkenaan kesemua barangan yang dibawa dalam kenderaan termasuk makanan, minuman serta borang pendaftaran sudah rosak.
Menurutnya, bagaimanapun dia dan rakannya bersyukur kerana terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
"Ini adalah kejadian kali pertama seumur hidup dan kami tidak akan lupakan dan akan dijadikan iktibar supaya lebih berhati-hati pada masa depan.
"Kami berterima kasih kepada keluarga, kenalan dan rakan sekerja yang mendoakan keselamatan kami," katanya ketika dihubungi hari ini.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... a-sawit-pegawai-jkm |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|