|
CHANTREN (kanan) dan Parameiswary menunjukkan gambar anak. FOTO Ahmad Hasbi
Tampin: Suasana sedih dan hiba di upacara penyemadian secara tiba-tiba bertukar kecoh serta keliru apabila waris dimaklumkan mayat yang mahu disemadikan bukan ahli keluarga mereka.
Difahamkan, keluarga dari Taman Desa Permai, di sini, itu, hampir membakar mayat terbabit, sebelum dihubungi pihak penjara jam 10 pagi tadi memaklumkan anak mereka masih hidup dan berada dalam tahanan.
Perkara itu dikatakan berlaku selepas keluarga dimaklumkan supaya menuntut mayat di Hospital Sungai Buloh pada 3 Mac lalu selepas dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh.
Keluarga mendakwa, anak mereka tinggal dan bekerja di Selayang, namun dikatakan ditahan sebelum ditempatkan di Penjara Sungai Buloh bersama lelaki yang meninggal dunia berkenaan.
Bapa tahanan itu, Chantren, 45, berkata, keluarga menerima panggilan daripada penjara memaklumkan anaknya meninggal dunia pada 2 Mac dan diminta supaya menuntut mayat di Hospital Sungai Buloh.
"Kami ke hospital berkenaan pada 3 Mac namun tidak dibenarkan melihat mayat dan difahamkan ketika itu proses bedah siasat sudah dijalankan. Kami pulang dan datang semula keesokan harinya.
"Bagaimanapun, kami diminta menandatangani surat terlebih dulu sebelum dibenarkan melihat mayat. Selepas melihatnya, kami tidak mengecam muka kerana kesan bedah siasat selain kepalanya sudah botak," katanya ketika ditemui.
Katanya, keluarga membawa pulang mayat malam tadi dan melakukan persiapan untuk disemadikan kira-kira jam 10 pagi ini.
"Kami sudah memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai berita ini dan semestinya sedih kerana secara tiba-tiba menerima berita yang mengejutkan ini.
"Ketika kami mahu membuat upacara terakhir, kami nyaris bakar mayat, secara tiba-tiba kami mendapat panggilan daripada pihak penjara memaklumkan anak kami masih hidup sebelum meminta untuk melakukan panggilan video," katanya.
Chantren memaklumkan keluarga sangat terkejut kerana kejadian berlaku dengan pantas bermula dengan berita anaknya dikatakan ditahan pada 28 Februari lalu.
"Anak ditahan polis, kemudian disahkan meninggal dunia, kemudian hidup kembali. Kejadian ini mengelirukan kami.
"Malah kami berhabis wang kira-kira RM20,000 untuk menempah khemah, makanan dan kos kremateriom. Kenapa perkara penting seperti ini boleh berlaku," katanya.
Ibu tahanan, Parameiswary, 48, berkata, dia ada membuat laporan polis di Jinjang mengenai kejadian itu dan mahu pihak berwajib bersemuka dengan keluarga untuk menjelaskan perkara ini secara hitam putih.
"Kami tidak mahu hanya lisan saja. Kami juga mahu berjumpa dengan anak bagi mengesahkan dia masih hidup, ia bukan perkara main-main, ia mengenai hidup dan mati," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... um-anak-masih-hidup |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|