|
ISMAIL dan Juleya menaikkan barangan katering dalam stor yang turut dinaiki air banjir. FOTO Omar Ahmad
Batu Pahat: Pengusaha katering di Kampung Sri Gading, di sini terpaksa menanggung kerugian lebih RM80,000 akibat banjir yang melanda sejak Jumaat lalu.
Pemiliknya, Ismail Mokri, 52, menyifatkan banjir kali ini lebih buruk sejak menjalankan perusahaan itu 24 tahun lalu.
Katanya stor penyimpanan barang memasak dan khemah yang terletak di belakang rumahnya dinaiki air setinggi satu meter ketika kejadian.
"Saya bersama isteri, Juleya Dasri, 54, berusaha menyelamatkan barangan termasuk meja, kipas, mesin basuh, kain alas meja, kain latar belakang dan kelengkapan memasak, namun ada di antaranya dihanyutkan air.
"Kalau lihat keadaan barangan ini, meja paling banyak rosak sebab kayu papan terendam air sudah hampir dua minggu, pasti kembang dan rosak.
"Memang rugi tetapi ujian, kuasa Allah. Kami berusaha selamatkan apa yang kami mampu, ada juga barang, kerusi yang hanyut dibawa arus.
"Kami reda ini semua ujian Allah. Alhamdulillah pekerja banyak membantu, barang khemah kanopi, alas meja yang dibuka di enam tempat selepas Majlis pada Sabtu lalu, kami tumpang rumah pekerja yang tidak terjejas banjir ,"katanya ketika ditemui di stor penyimpanan di Kampung Sri Gading di sini, hari ini.
Sementara itu, Juleya berkata terdapat sepuluh tempahan pemasangan kanopi di sekitar Batu Pahat dalam dua minggu ini terpaksa dibatalkan.
Katanya lima tempahan katering juga terpaksa dibatalkan kerana air banjir masih termenung pada paras lutut.
"Anggaran kerugian untuk pembatalan tempahan sekitar RM40,000. Belum kerosakan lain seperti lori, kereta yang digunakan untuk pengangkutan juga rosak.
"Tempahan banyak yang kita dibatalkan, yang mana ada juga pelanggan yang menjadi mangsa banjir seperti kami. Kita tunda, insya-Allah selepas raya akan disambung semula.
"Tetap saya dan suami tetap bersyukur kerana barangan elektrik seperti penghawa dingin bergerak, mesin basuh, kipas dan kain-kain yang kami letakkan di tempat tinggi selamat," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ing-dihanyut-banjir |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|