View: 2490|Reply: 0
|
[Kelantan]
45 stesen minyak dekat sempadan antara kesukaran banteras penyeludupan
[Copy link]
|
|
ANTARA kenderaan asing yang dilihat mengisi minyak di stesen minyak di Rantau Panjang, ketika tinjauan pada 1 Mac lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Kota Bharu: Kegiatan penyeludupan diesel dan petrol di negeri ini seolah-olah sudah sebati dan menjadi pendapatan penyeludup sejak turun temurun sehingga sukar dibanteras.
Malah, jarak sempadan yang dekat, beban pembuktian sukar dibuktikan, bilangan stesen minyak yang banyak serta kekangan penguat kuasa turut menyumbang kepada kegiatan itu.
Lebih licik, ada dalam kalangan penduduk tempatan yang mendalangi kegiatan penyeludupan diesel dan petrol itu sekali gus menyukarkan penguat kuasa untuk membanteras kegiatan berkenaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail ketika mendedahkan perkara itu berkata, semua faktor itu menjadi cabaran terbesar buat mereka dalam usaha mengelak ketirisan subsidi ke negara jiran.
Katanya, banyak faktor yang menyebabkan isu penyeludupan diesel dan petrol itu sukar dibanteras sehinggakan ia menjadi pendapatan turun temurun kepada penyeludup.
"Antara faktor adalah sebanyak 45 stesen minyak di Kelantan berada di dalam radius 25 kilometer (km) dari kawasan sempadan dan kawasan itu luas sekali gus menyukarkan penguat kuasa untuk membuat pemantauan.
"Untuk meletakkan pegawai di setiap stesen minyak adalah mustahil kerana tugas kita bukan untuk memantau penyeludupan diesel atau petrol sahaja.
"Disebabkan banyak stesen minyak di kawasan sempadan menyebabkan mereka akan menggunakan kaedah 'mengutip diesel ' 20 liter di setiap stesen sehinggalah penuh sebelum masuk ke Thailand," katanya ketika ditemui di pejabatnya.
Mengulas lanjut katanya, selain berdepan kesukaran untuk tangani penyeludupan dalam kalangan warga asing, cabaran yang lebih besar juga apabila kegiatan itu didalangi penduduk tempatan.
"Mereka bukan saja mengisi diesel sebaliknya mengisi petrol RON95 dan sebaik mendapat jumlah yang dikehendaki, mereka akan menghantar bekalan itu melalui Sungai Golok.
"Memandangkan sempadan kita dengan Thailand begitu dekat, ada penyeludup tempatan hanya memakir kenderaan di tepi Sungai Golok dan menggunakan alat untuk menyedut petrol atau diesel berkenaan dari tangki terus ke sebelah Thailand.
"Modus operandi itu dikesan hasil tangkapan yang kita buat sebelum ini namun selicik mana pun modus operandi yang mereka lakukan, kita akan berusaha sebaik mungkin membanteras jenayah berkenaan," katanya.
Pada masa sama, beliau turut memberi amaran kepada pengusaha stesen minyak supaya tidak bersubahat dalam aktiviti penyeludupan berkenaan.
"Mereka (pengusaha stesen minyak) inilah yang memainkan peranan penting dalam membanteras isu ini supaya tidak membenarkan kenderaan asing mengisi diesel dan petrol yang bukan hak mereka," katanya.
NSTP sebelum ini melaporkan, deretan kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan plat nombor pendaftaran asing kelihatan begitu rancak mengisi minyak diesel di stesen minyak di sekitar Rantau Panjang.
Itu situasi yang dilihat seawal pada 7.30 pagi di kawasan berkenaan dengan puluhan kenderaan lain diparkir di beberapa lokasi kawasan sekitar dipercayai menunggu giliran untuk mengisi minyak.
Tinjauan selama tiga jam di sekitar kawasan berkenaan mendapati situasi kenderaan asing mengisi minyak diesel dipercayai melebihi had yang ditetapkan begitu aktif sekali.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... nteras-penyeludupan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|