Tiada lagi acara akan dianjurkan di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) di Senayan, Jakarta.
Perkara itu disahkan Pengerusi jawatankuasa penganjuran tempatan Piala Dunia U-20 FIFA 2023, Erick Thohir berikutan konsert Blankpink yang berlangsung di lokasi tersebut hujung minggu lalu dikatakan telah merosakkan rumput stadium.
Peminat memenuhi GBK bagi menyaksikan konsert Blackpink di Jakarta pada 12 Mac lalu. – AFP
Laman berita Tempo melaporkan arahan itu dikeluarkan bagi mempersiapkan stadium tersebut menjelang kejohanan bola sepak remaja antarabangsa itu.
“Ini merupakan waktu kritikal kerana GBK adalah padang bersaiz mega di Indonesia yang amat penting untuk Piala Dunia tersebut.
“Acara pembukaan acara sukan itu dan beberapa acara berkaitan akan diadakan di sini (GBK). Jadi, saya perlu menegaskan di sini bahawa tiada lagi sebarang acara boleh dianjurkan di GBK sama ada sukan atau seni,” ujarnya.
Sebelum ini, dua konsert diadakan di GBK iaitu konsert penyanyi Indonesia, Raisa pada 25 Februari lalu dan konsert Blackpink pada 11 dan 12 Mac 2023.
Isnin lalu, Erick memeriksa keadaan stadium tersebut dan mendapati tiada masalah serius yang berlaku melainkan kualiti rumput perlu ditambah baik selepas digunakan dalam dua konsert besar itu.
Piala Dunia U-20 FIFA 2023 dijadual berlangsung pada 20 Mei hingga 11 Jun depan dengan Indonesia merupakan tuan rumah bagi acara dwitahunan itu.
Sumber: Kosmo |